Tumpuan :
Detik Niaga

Pelabur asing kembali berminat beli saham Bursa Malaysia

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Aliran masuk dana asing ke dalam pasaran saham tempatan kekal positif, sekali gus menunjukkan indeks penanda aras Bursa Malaysia berada dalam kedudukan baik untuk mencatatkan prestasi lebih kukuh dalam bulan terakhir sesi dagangan 2023, demikian menurut penganalisis.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade, Thong Pak Leng, berkata jangkaan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) tidak menaikkan kadar faedah akan mendorong aliran masuk dana asing ke dalam pasaran saham tempatan.

Beliau berkata, pasaran saham tempatan telah berada dalam situasi terlebih jual sekian lama dengan Indeks FBM KLCI didagangkan pada sekitar 14.5 kali ke hadapan nisbah pendapatan harga (PER) berbanding purata lima tahun sebanyak 17.5 kali.

Katanya, nilai ringgit yang rendah berbanding dolar AS juga menjadikan pelaburan ke dalam pasaran saham Malaysia lebih menarik.

“Kami juga menjangkakan beberapa aktiviti mencantikkan akaun pada Disember, justeru indeks mungkin meningkat lebih tinggi. Sasaran KLCI akhir tahun kami kekal pada 1,530 mata,” katanya kepada BH.

Sementara itu, Pengarah dan Ketua MIDF Research, Imran Yassin Md Yusof, berkata aliran masuk dana asing ke pasaran saham tempatan adalah trend serantau.

Beliau berkata, aliran masuk dana asing juga dilihat dalam pasaran saham lain seperti di Taiwan, Korea Selatan dan Indonesia.

Katanya, trend itu berikutan kepada jangkaan pasaran bahawa Fed tidak akan menaikkan lagi kadar pinjaman mereka dan itu membawa sentimen positif kepada pelabur asing.

“Seterusnya, mereka mencari pasaran saham yang selama ini kurang memberangsangkan dan akan memberi pulangan lebih tinggi. Kami menjangkakan tren ini akan berterusan sehingga akhir tahun. Oleh itu, kami mengekalkan sasaran FBM KLCI kami iaitu 1,540,” katanya.

Ketua Ahli Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, pula berkata berkemungkinan prospek pengurangan kadar faedah di AS menjadi faktor utama dalam kemasukan modal asing ke dalam pasaran ekuiti.

Loading...
Terkini