KUALA LUMPUR:Pelabur asing menjadi pembeli bersih Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) pada November tahun ini kepada RM1.2 bilion selepas dua bulan berturut-turut sebagai penjual bersih, menurut RAM Rating Services Bhd.
Dalam kenyataan hari ini, katanya, ini disebabkan mesej kurang agresif daripada Rizab Persekutuan Amerika Syarikat pada awal November yang telah mendorong semula minat terhadap bon pasaran sedang pesat membangun mata wang tempatan pada bulan lepas.
“Bagaimanapun, ia diimbangi oleh aliran keluar daripada Bil Perbendaharaan Malaysia (MTB) dan Bil Perbendaharaan Islam Malaysia (MITB) sebanyak RM2.5 bilion yang boleh dikaitkan dengan ketidakmampuan pelabur asing untuk membayar balik dana disebabkan kematangan tidak sekata serta terbitan baharu MTB dan MITB yang perlahan sejak dua bulan lepas,” katanya.
Agensi penarafan itu mengunjurkan bahawa pada 2023, terbitan MGS dan GII akan meningkat kepada RM170 bilion hingga RM180 bilion dengan mengambil kira keperluan pembiayaan defisit kerajaan yang lebih besar serta pembiayaan semula hutang yang akan matang pada tahun depan.
Ia turut meramalkan terbitan MGS dan GII akan mencapai RM165 bilion hingga RM175 bilion pada 2022 iaitu menokok daripada RM163.9 bilion pada 2021.
Menurutnya, terbitan MGS dan GII pada November 2022 kekal kukuh sebanyak RM15.0 bilion, menjadikan jumlah terbitan pada 11 bulan pertama tahun ini kepada RM163.0 bilion, sekali gus di landasan tepat untuk mencapai ramalan agensi itu iaitu RM165 bilion hingga RM175 bilion pada 2022.
Mengenai terbitan bon korporat, RAM Ratings mengunjurkan bahawa ia akan mencapai antara RM120 bilion dan RM130 bilion tahun depan, disokong oleh inisiatif pembiayaan semula swasta, keperluan pembiayaan infrastruktur yang berterusan serta rancangan penambahan modal institusi kewangan.
“Terbitan bon korporat merosot kepada RM9.1 bilion pada November 2022.
“Dengan mencatatkan sebanyak RM109.2 bilion sehingga November 2022, terbitan bon korporat dijangka menghampiri julat anggaran tertinggi kami iaitu RM110 bilion hingga RM120 bilion tahun ini berbanding RM114.3 bilion pada 2021,” katanya.
Secara keseluruhannya, RAM Ratings berkata aliran dana kekal negatif sebanyak RM1.0 bilion pada November 2022 walaupun aliran keluar adalah lebih kecil berbanding RM6.3 bilion pada Oktober 2022. – BERNAMA
Detik Niaga
Pelabur asing jadi pembeli bersih MGS, GII pada November 2022 – RAM Ratings
Loading...
Terkini