comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Pekerja asing ladang sawit akan ditambah tahun depan

pengambilan tenaga kerja asing kini tidak tertumpu kepada negara sumber tertentu saja, sebaliknya diperluaskan kepada negara sumber lain juga.

KUALA LUMPUR: Isu kekurangan tenaga kerja dalam industri sawit tempatan terutama membabitkan kerja di ladang dijangka dapat diselesaikan meskipun bukan sepenuhnya menjelang tahun depan.

Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir, berkata berdasarkan maklumat daripada industri, sudah ada kemasukan tenaga kerja secara beransur-ansur ke dalam sektor perladangan.

Beliau berkata, industri sawit berdepan kekurangan tenaga kerja kira-kira 200,000 orang dan kemasukan pekerja kini dianggarkan kira-kira belasan ribu orang.

Katanya, dalam menangani isu berkenaan, pengambilan tenaga kerja asing kini tidak tertumpu kepada negara sumber tertentu saja, sebaliknya diperluaskan kepada negara sumber lain juga.

“Sebelum ini, kita banyak bergantung kepada Indonesia. Namun, kini, kita melihat kepada negara lain seperti India, Bangladesh dan Nepal.”Saya harap isu ini dapat diselesaikan tahun depan,” katanya pada sidang media pada Seminar Kebangsaan Mengenai Kilang Minyak Sawit, Penapisan, Alam Sekitar dan Kualiti 2022 (POMREQ 2022), hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai perkembangan terkini isu kekurangan tenaga kerja di ladang sawit tempatan.MPOB juga berharap peserta industri dan syarikat besar dapat menumpukan dalam penggunaan jentera supaya pergantungan kepada tenaga kerja dapat dikurangkan.

Industri sawit Malaysia sebelum ini dilaporkan menanggung kerugian mencecah RM10.46 bilion bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini susulan isu kekurangan tenaga kerja yang menyaksikan 7.52 juta tan buah sawit tidak dapat dikutip.

Anggaran kerugian itu telah mengambil kira harga buah tandan segar (BTS) bagi tempoh Januari hingga Mei 2022 pada RM1,390 satu tan.

Berdasarkan jumlah kekurangan penuai dan pemungut BTS iaitu seramai 28,940 orang dengan anggaran purata produktiviti dua tan BTS sehari, dianggarkan sebanyak 57,880 tan BTS sehari tidak dapat dituai.

Mengambil kira bilangan hari bekerja iaitu selama 26 hari sebulan, jumlah anggaran BTS yang tidak dapat dituai adalah sebanyak 1.5 juta tan sebulan.

Mengenai prospek harga minyak sawit mentah (MSM) tahun depan, Ahmad Parveez berkata, harga komoditi itu dijangka akan stabil sekitar RM4,000 satu tan dan boleh mencecah sehingga RM4,500 satu tan.

Beliau tidak menolak bahawa harga minyak boleh dimakan itu akan meningkat lebih tinggi lagi jika ada krisis lain berlaku.

“Sekarang ini, kita melihat harga masih lagi berada sekitar RM4,000 satu tan. Keadaan ketika ini masih lagi membabitkan ketidaktentuan konflik Russia-Ukraine dan mandat terbaharu di Indonesia dari segi peningkatan biodisel.

“Justeru, kita jangka harga akan stabil RM4,000 satu tan dan boleh cecah RM4,500 satu tan. Jika ada sesuatu krisis lain mungkin harga akan meningkat lagi,” katanya.

Konflik di Ukraine menyebabkan permintaan terhadap minyak sawit meningkat dan MSM didagangkan pada harga purata harian tertinggi dalam sejarah iaitu RM 8,076.50 satu tan pada 2 Mac 2022.

Loading...
Terkini