KUALA LUMPUR:Petronas Dagangan Bhd (PDB) komited untuk memanfaatkan permintaan bahan api dengan meneruskan pengembangan perniagaan terasnya, seiring dengan keutamaan pelanggan yang semakin bertambah, dan pada masa sama meningkatkan aliran perolehan daripada segmen bukan bahan api.
Dalam laporan tahunannya bagi 2022, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Azrul Osman Rani berkata PDB bakal melancarkan lebih banyak cawangan Café Mesra pada tahun ini di pelbagai lokasi di luar stesen Petronas.
“Kami juga akan memperluas rangkaian barangan PRYSM yang ditawarkan di Petronas Shop menerusi aplikasi Setel,” katanya.
Menurutnya ketibaan penumpang udara antarabangsa di Malaysia diramal mencapai sehingga 9.6 juta pada 2023 berikutan pembukaan semula sempadan antarabangsa.
Beliau berkata keadaan ini sekali gus memangkin permintaan selanjutnya terhadap bahan api, bukan sahaja daripada sektor penerbangan, malah sektor hospitaliti, makanan dan minuman serta pengangkutan.
Menurutnya PDB kekal komited menyokong aspirasi Malaysia untuk tampil sebagai negara berkarbon rendah dan akan memastikan pertumbuhan kumpulan yang mampan.
Susulan pelancaran hab pengecasan kenderaan elektrik (EV) PDB yang pertama, katanya kumpulan itu bukan sahaja akan meluaskan rangkaian pengecasan EV, malah akan memastikan pengalaman pelanggan yang lancar dengan mengintegrasikan kemudahan pengecasan EV dengan aplikasi Setel.
“Bagi pihak PDB pula, kami akan memasang lebih banyak panel solar di stesen Petronas dan meninjau kaedah lain untuk mengurangkan jejak karbon kami.
“Usaha kami tidak akan terbatas hanya kepada inisiatif alam sekitar, tetapi akan merangkumi pelbagai amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) demi manfaat komuniti, berpandukan kepada pelbagai piawaian termasuk FTSE4Good,” katanya.
Menurut laporan itu, keuntungan bersih PDB bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2022 menokok kepada RM776.60 juta daripada RM529.75 juta pada tahun kewangan 2021, manakala perolehan meningkat kepada RM36.75 bilion daripada RM22.67 bilion sebelum ini.
Keuntungan bersih yang lebih tinggi itu disumbangkan terutamanya daripada keuntungan kasar yang tinggi daripada seluruh segmen berikutan permintaan yang meningkat dalam tempoh berkenaan. -BERNAMA