KUALA LUMPUR: Petronas Chemicals Group Bhd (PCG) memeterai memorandum persefahaman (MOU) dengan Sarawak Petchem Sdn Bhd (Sarawak Petchem) untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan bersama bagi membina loji ammonia dan urea berkarbon rendah di Bintulu, Sarawak.
Dalam satu kenyataan bersama, kedua-dua syarikat, di bawah terma MOU itu akan menjalankan kajian komprehensif bersama dari segi teknikal dan komersial, dengan aspek yang lain, dalam memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk penyelesaian tenaga lestari dengan memanfaatkan potensi tenaga boleh baharu di rantau ini.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata usahasama bagi mengkaji potensi pembangunan loji ammonia dan urea berkarbon rendah berskala dunia itu amatlah dialu-alukan.
“Loji ini mempunyai keupayaan pada masa akan datang untuk menghasilkan ammonia dengan jejak karbon yang rendah. Ia sememangnya satu inisiatif strategik dalam memanfaatkan peluang pasaran peralihan tenaga global,” katanya.
Pengerusi Sarawak Petchem, Tan Sri Abdul Aziz Husain, berkata kerjasama itu membolehkan syarikat memanfaatkan sinergi, mengoptimumkan kos, dan berkongsi risiko, justeru memaksimumkan nilai untuk Sarawak dan Malaysia.
“Pada masa yang sama menzahirkan amalan perniagaan yang beretika dan pemikiran yang kolaboratif. Inisiatif pembangunan bersama ini berfungsi sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi di Sarawak, di samping memacu penyediaan peluang pekerjaan dan memupuk pertumbuhan lestari selaras dengan objektif Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) Sarawak,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.