Tumpuan :
Detik Niaga

PCG bentuk bahagian bahan kimia khusus pacu pertumbuhan

 

KUALA LUMPUR: Petronas Chemicals Group Bhd (PCG) telah membentuk bahagian Kimia Khusus dalam sebahagian usahanya bagi mengukuhkan lagi kedudukannya dalam industri petrokimia.

Langkah itu merupakan sebahagian daripada strategi dua serampangnya untuk pertumbuhan syarikat dan membantu melindungi perniagaan daripada ketidakstabilan industri minyak dan gas yang lebih luas.

Bahagian baharu ini akan diterajui oleh Dr. Debbie Chiu Yuen-Yuen sebagai Ketua Pegawai Operasi (Bahan Kimia Khusus).

“Kami yakin dengan pengetahuan teknikal kimia dan pengetahuan aplikasinya yang luas, selain mempunyai visi yang tepat dalam merealisasikan aspirasi pertumbuhan bahan kimia khusus kami.

“Trajektori pertumbuhan pasaran bahan kimia khusus pada peringkat global dijangka berterusan, dan kami berbangga untuk memperkukuhkan kehadiran dengan penubuhan bahagian baharu ini,” kata Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif  PCG Ir. Mohd Yusri Mohamed Yusof.

Chiu mempunyai pengalaman hampir 30 tahun dalam industri kimia dengan pengetahuan luas dalam salutan, polimer khusus, penyimpanan tenaga, bahan untuk peralatan dan penyelesaian gentian serta mempunyai pengalaman kepimpinan dalam penggabungan dan pengambilalihan, transformasi perniagaan, pengembangan pasaran, dan sebagainya, kata syarikat itu.

Kata PCG, ia telah mencapai kemajuan yang ketara dalam usaha pertumbuhan segmen ini, terutamanya dengan pengambilalihan penting Perstorp Group, peneraju global dalam bahan kimia khusus mampan yang berpangkalan di Sweden, dan akan mengembangkan kehadirannya melalui pengukuhan kedudukannya dalam pasaran Asia Pasifik.

“PCG berharap untuk mengembangkan kehadiran bahan kimia khususnya dan menjurus kepada aliran hasil baharu dengan penubuhan bahagian baharu ini,” katanya.

Loading...
Terkini