comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

PayNet, BC Card jalin kerjasama pacu pembayaran digital antara Malaysia, Korea Selatan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Payments Network Malaysia (PayNet) bekerjasama dengan BC Card, syarikat perkhidmatan pembayaran Korea Selatan, bagi membolehkan pelanggan mereka membuat pembayaran respons pantas (QR) secara terus tanpa memerlukan pertukaran mata wang atau tambah nilai yang berasingan.

Rangkaian pembayaran nasional itu berkata di bawah fasa pertama kerjasama itu, pelawat dari Korea Selatan akan dapat menggunakan kod QR DuitNow di lebih dua juta titik sentuh peniaga.

“Pengaktifan ini tepat pada masanya kerana Malaysia menerima kedatangan 400,853 pelancong Korea Selatan tahun lepas dan menjangkakan malahan lebih ramai ketibaan pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, yang bakal menyumbang kepada sasaran menarik 35.6 juta pelancong antarabangsa.

“Bagaimanapun, fasa kedua, yang mana QR Duitnow itu dijangka dapat digunakan di Korea Selatan, masih dalam proses perancangan,” katanya.

Menurut PayNet, Korea Selatan merupakan pasaran utama dalam pembayaran digital, dengan menyatakan Bank of Korea melaporkan jumlah pembayaran yang dibuat melalui peranti mudah alih pada tahun 2023 mencapai KRW1.47 trilion (RM5 bilion), iaitu peningkatan 10.8 peratus tahun ke tahun.

Jumlah itu menyumbang 50.5 peratus daripada keseluruhan pembayaran bagi tahun ini, melebihi pembayaran yang dibuat melalui kad fizikal, yang berjumlah KRW1.44 trilion.

Syarikat itu berkata Malaysia akan menjadi negara Asia Tenggara ketiga selepas Indonesia dan Vietnam yang mana pengguna BC Card dapat menikmati kemudahan itu, sekali gus meningkatkan potensi untuk membina rangkaian pembayaran ASEAN.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini