KUALA LUMPUR: Pasukan Petugas 1MDB mempertimbangkan prosiding undang-undang terhadap beberapa bank asing yang memudahkan pemindahan dana berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) tanpa melaksanakan proses pengesahan Kenali Pelanggan Anda (KYC) dengan sewajarnya pada masa itu.
Pengerusinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani juga mengesahkan pasukannya sedang menyiasat kemungkinan perunding dan peguam yang mewakili kerajaan Malaysia untuk proses timbang tara dengan Goldman Sachs, gagal melaksanakan tugasan atau berlaku kecuaian dalam penyelesaian perjanjian
“Kerumitan untuk perjanjian penyelesaian ini memerlukan semakan yang berhati-hati, dan Pasukan Petugas 1MDB dengan aktif terbabit dalam proses timbang tara bagi memastikan penyelesaian adil bagi kepentingan terbaik rakyat Malaysia,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Pasukan Petugas 1MDB semalam mengadakan mesyuarat bagi membincangkan perkembangan status pemulangan aset 1MDB dan perkara-perkara lain berkaitan dengan pertikaian bersama Goldman Sachs.
“Kerajaan akur faktor kerumitan dan kerahsiaan berhubung butiran penyelesaian itu, namun bertekad memberikan ketelusan serta perkembangan terkini mengenai situasi semasa kepada rakyat,” katanya.
Perjanjian Penyelesaian pada Ogos 2020 antara Kerajaan Malaysia dan Goldman Sachs memerlukan bank pelaburan itu membayar tunai AS$2.5 bilion dan memberikan jaminan pemulangan aset AS$1.4 bilion kepada Putrajaya.
Ketika ini, perunding dan peguam yang mewakili Kerajaan Malaysia gagal mendapatkan penyelesaian yang adil dan mencukupi daripada Goldman Sachs.
Menurut kenyataan itu, 1MDB membayar yuran penasihat amat tinggi iaitu AS$606 juta kepada Goldman Sachs bagi menasihatkan penerbitan tiga bon berjumlah AS$6.5 bilion.
Bayaran itu dibuat ketika itu meskipun kerugian terbesar skandal itu ditanggung kerajaan Malaysa yang terpaksa membayar AS$6.5 bilion (jumlah prinsipal) dan faedah AS$3.2 bilion dalam tempoh 10 tahun untuk melunaskan hutang berkait 1MDB.