comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Pasukan pemantau khas perlu dilantik, pastikan pelaksanaan Ekonomi Madani lancar

Ekonomi Madani : Memperkasa Rakyat diluncurkan Perdana Menteri baru-baru ini

Oleh: Suzila Idayu Yaacob 

BANGI: Kerangka Ekonomi Madani yang dirangka oleh kerajaan perlu diinstitusikan dengan penubuhan satu pasukan khas bagi memastikan dasar ekonomi 10 tahun itu dapat dicapai.

Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berpandangan, pasukan yang bertindak sebagai pemantau itu perlu bekerjasama dengan semua kementerian dan mesti dianggotai individu berkebolehan.

“Pasukan ini terima mandat dan perlu melapor terus kepada Perdana Menteri tentang kemajuan-kemajuan yang telah dicapai. Mereka merancang bersama kementerian. Ini kerana kementerian adalah induk kepada setiap sektor.

“Sebagai contoh, bagaimana nak tingkatkan perdagangan dan ingin menjadi peneraju Asia, apa tindakan perlu dibuat,” katranya pada sidang khas Ekonomi Madani : Mencapai Sasaran.

Jelas beliau, pasukan pemantau ini juga bertindak menyelia setiap pelaksanaan supaya ia dapat dilaksana dengan lebih pantas.

Ujarnya, isu paling utama yang perlu diberi perhatian serius kerajaan adalah menangani kos sara hidup.

Ini selain memperhalusi inisiatif berhubung pendapatan rakyat serta mengkaji rasionalisasi subsidi yang dilaksanakan.

Kerangka Ekonomi MADANI yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menetapkan tujuh penanda aras utama sebagai sasaran jangka masa sederhana yang ingin dicapai negara.

Pertama,  Malaysia berada di kedudukan antara 30 ekonomi terbesar di dunia; Kedua: Indeks Daya Saing Global berada di tangga ke-12 teratas dunia dan  Ketiga: Peratusan pendapatan buruh mencapai 45 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan; (sasaran RMKe-12 adalah 40 peratus menjelang 2025).

Sasaran keempat adalah menaikkan kadar penyertaan wanita dalam tenaga buruh kepada 60 peratus, Kelima: Indeks Pembangunan Manusia di tangga 25 teratas dunia; Keenam: Indeks Persepsi Rasuah di tangga 25 teratas dunia manakala ketujuh: Kemampanan fiskal dengan defisit fiskal mencapai tiga peratus atau lebih rendah.

Loading...
Terkini