KUALA LUMPUR: Pasaran pekerjaan dijangka meneruskan momentum pemulihan positif dalam bulan-bulan mendatang didorong oleh permintaan domestik yang kukuh, demikian kata penganalisis.
Malah, ia juga akan dipacu oleh prospek pendapatan yang utuh, pengembangan dalam sektor utama dan peningkatan dalam aktiviti pelancongan menjelang hujung tahun.
Pasaran pekerjaan terus kukuh pada September di tengah-tengah peningkatan ekonomi domestik dan pemulihan industri berkaitan pelancongan.
HLIB Research dalam nota penyelidikannya berkata, pasaran pekerjaan terus mengukuh pada September dengan pertumbuhan pekerjaan meneruskan kadar kukuh dipacu sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan.
Ia berkata, tenaga kerja juga mencatatkan pengembangan kukuh dengan meningkat 0.2 peratus dari bulan ke bulan pada September, di tengah-tengah peningkatan ekonomi domestik dan pemulihan industri berkaitan pelancongan.
Sementara pengangguran pula, katanya, terus merosot 1.1 peratus dari bulan ke bulan pada September meskipun pada kadar perlahan, sekali gus menjadikan kadar pengangguran meningkat lebih rendah kepada 3.6 peratus berbanding 3.7 peratus pada Ogos. – BERITA HARIAN