Tumpuan :
Detik Niaga

Pasaran emas di Malaysia dijangka diniagakan rendah tahun ini – Public Gold

KUALA LUMPUR: Pasaran emas di Malaysia dijangka diniagakan lebih rendah tahun ini dalam persekitaran kebimbangan berterusan terhadap kemelesetan global ditambah pula dengan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak empat kali oleh Bank Negara Malaysia pada tahun 2022, kata Pengerusi Eksekutif Public Gold Datuk Wira Louis Ng.

Beliau berkata apabila bank pusat menaikkan kadar pinjaman, ia menjejaskan mudah tunai rakyat dan pendapatan boleh guna.

“Kemelesetan global ditambah dengan kenaikan OPR akan memberi kesan kepada pasaran runcit barang kemas kerana orang ramai hanya akan membeli emas apabila mereka mempunyai lebihan wang selepas memenuhi keperluan asas mereka,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, beliau berkata pergerakan logam berharga itu di pasaran antarabangsa adalah sebaliknya, ia akan dipengaruhi oleh prestasi kenaikan kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) dan inflasi seluruh dunia.

“Apabila berlaku inflasi, kebiasaannya harga emas akan naik lebih tinggi kerana inflasi menghakis kuasa beli wang kita. Tetapi emas adalah perlindungan semula jadi terhadap inflasi, justeru dijangkakan harga emas akan naik.

“Untuk tahun ini, ia bergantung kepada keputusan Fed sama ada ia akan memperlahankan kenaikan kadar faedah.

“Kami mengunjurkan harga emas antarabangsa akan bergerak lebih tinggi pada suku pertama dan kedua tahun ini, memandangkan bagi suku ketiga dan keempat 2023 kami masih menunggu data indikatif menjadi lebih jelas,” katanya.

Beliau berkata beberapa penganalisis juga menjangkakan harga emas antarabangsa mencatatkan paras tertinggi pada 2023, melebihi US$2,000 setiap auns troy seandainya Fed tidak menaikkan kadar faedah. — BERNAMA

Loading...
Terkini