![](https://media.buletintv3.my/2023/03/Sd14uCSW-pp-cms-29.jpg)
KUALA LUMPUR: Panasonic telah menampilkan penyelesaian pintar canggih terkininya pada ‘Panasonic FutureTech 2.0’ yang berlangsung di ibu negara dari 14 Mac hingga 16 Mac 2023.
Pameran penyelesaian pintar masa hadapan itu memfokuskan kepada teknologi pintar, hijau dan penyelesaian imersif dengan sasaran lima cabang utama iaitu institusi pengajian tinggi awam dan swasta; pejabat korporat dan kerajaan; industri pemaju dan pembinaan; industri pembuatan dan industri hospitaliti.
Ketua Negara Penyelesaian Sistem dan Ketua B2B Panasonic Malaysia, Seelan Kandasamy, berkata ‘Panasonic FutureTech 2.0’ mempamerkan pelbagai pilihan penyelesaian lengkap merentasi pasaran cabang utama berbeza.
Beliau berkata, ia menawarkan teknologi inovatif, direka untuk menghasilkan penyelesaian teknologi pintar dan hijau luar jangkauan bagi menambah baik pengalaman pelanggan, serta meningkatkan produktiviti dan kecekapan industri.
Katanya, antara penyelesaian pintar canggih yang dipamerkan di ‘Panasonic FutureTech 2.0’ termasuk pameran penyelesaian pengurusan fasiliti pintar dan bangunan hijau S.iCity.
“Panasonic FutureTech 2.0 bertujuan untuk mempamerkan penyelesaian terkini keselamatan pintar dan pengurusan kemudahan kawasan perbandaran, kampus dan pengurusan bangunan untuk sistem pengurusan kawalan yang lebih bijak, selamat, menjimatkan kos dan efektif.
“Pameran ini mengukuhkan lagi komitmen kami untuk membantu sektor korporat dan awam berkembang dan kekal berdaya saing dalam era transformasi digital dan transformasi hijau,” katanya pada pelancaran Panasonic FutureTech 2.0. — BERITA HARIAN