Tumpuan :
Detik Niaga

[VIDEO] Pakej 5G Rahmah tawar telefon pintar harga RM240

Oleh: Afrina RomziPUTRAJAYA: Kerajaan hari ini mengumumkan Pakej 5G Rahmah bersempena Hari Kemerdekaan, merangkumi pakej telefon pintar serta pelan pascabayar.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata Pakej 5G Rahmah ini ditawarkan bermula 31 Ogos hingga 31 Disember 2023.

Fahmi Fadzil pada majlis pelancaran Pakej 5G Rahmah hari ini.

“Pakej Rahmah 5G dapat dilaksana dengan kerjasama lima syarikat penyedia perkhidmatan iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile, TM Unifi Mobile dan YTL Communications Yes serta syarikat pengeluar telefon Samsung Malaysia Electronics dan Honor Malaysia,” katanya pada majlis pelancaran Pakej 5G Rahmah.

Pakej telefon pintar menawarkan jenama Samsung A14 5G serta Honor 90 Lite 5G dengan harga tidak melebihi RM240, berbanding harga pasaran masing-masing pada RM949 dan RM1,099.

“Pakej 5G Rahmah ialah pakej telefon pintar 5G bersama-sama pelan data dengan pilihan telefon pintar sama ada jenama Samsung A14 5G atau Honor 90 Lite 5G berharga tidak melebihi RM240 berserta pelan pascabayar serendah RM60 sebulan dengan data minimum 60gb. Ini hanya merupakan spesifikasi asas bagi pemberian Pakej Rahmah 5G,” katanya.

Tambah beliau, 100,000 pelanggan terawal dari kumpulan B40 layak mendapat subsidi sebanyak RM120 ke atas telefon pintar 5G yang berharga RM240 dan ke bawah.

Beliau turut mengalukan pihak telco untuk menyediakan penawaran yang lebih baik berdasarkan strategi jualan masing-masing.

“Sebagai contoh telco boleh menyediakan harga telefon pintar yang lebih rendah daripada RM240 atau bayaran bulanan pelan pascabayar yang lebih rendah daripada RM60 atau kuota data yang lebih banyak daripada 60gb sebulan.

“Saya difahamkan ada dalam kalangan syarikat yang akan menawarkan Pakej 5G Rahmah dengan harga serendah RM35 untuk data 100gb berserta peranti 5G,” tambah beliau.

Selain itu, terdapat Insentif Pelan Pascabayar Rahmah diberikan kepada penjawat awam sebanyak RM10 sebulan bagi 12 bulan. Ini bagi pelan yang bernilai RM60 sebulan dan ke atas untuk kedua-dua pelanggan sedia ada dan baharu.

Insentif ini akan mula ditawarkan pada 16 September hingga 31 Disember 2023.

Tambah beliau Insentif Rebat Rahmah Pengamal Media akan dilaksanakan bulan depan.

“Semua pengamal media yang memiliki Kad Perakuan Media Jabatan Penerangan Malaysia layak mendapat rebat 1 bulan bil telefon bimbit,” katanya.

Pemberian rebat ini dijangka akan melibatkan lebih 10,000 orang pengamal media di seluruh Malaysia.

Loading...
Terkini