KUALA LUMPUR: Badan pengawal selia operasi syarikat penerbangan di Malaysia perlu mengetatkan lagi syarat dan peraturan permohonan lesen terutamanya dalam membabitkan isu kewangan.
Hal ini disebabkan terdapat beberapa isu membabitkan kewangan syarikat penerbangan sehingga terpaksa menutup operasi sehingga memberikan kesan kepada industri serta pengguna.
Walaupun langkah mendapatkan Sijil Pengendali Udara (AOC) dan Lesen Penerbangan Udara (ASL) di Malaysia ketika ini adalah ketat, dengan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) turut melihat kepada status kewangan syarikat penerbangan untuk memastikan kesinambungan dan keterusan operasi, namun ia dilihat perlu ditingkatkan lagi.
Pakar Ekonomi Penerbangan Malaysian Institute of Aviation Technology, Universiti Kuala Lumpur (UniKL MIAT), Prof Madya Mejar Dr Mohd Harridon Mohamed Suffian, berkata langkah terbaik adalah melaksanakan beberapa kaedah penilaian kewangan sebelum diberikan lesen.
Beliau berkata, adalah disarankan supaya kaedah analisis kewangan atau Analisis Modal Forensik diguna pakai oleh pengawal selia seperti MAVCOM dan CAAM supaya kedudukan kewangan syarikat penerbangan berkenaan dapat dinilai secara holistik dan mendalam.
Selain itu, katanya beberapa isu kewangan dapat dikenal pasti sebelum syarikat penerbangan dibenarkan beroperasi.
“Lazimya, isu-isu kewangan ini adalah tidak terdedah jika dilihat secara luaran. Namun begitu, jika metodologi Analisis Modal Forensik dilaksanakan, beberapa lapisan penyata kewangan dapat dikupas dan isu yang kritikal dapat diketengahkan.
“Dalam kaedah ini juga, simulasi kewangan dilaksanakan untuk melihat sejauh mana syarikat itu boleh bertahan jika beberapa faktor seperti penurunan nilai ringgit, kenaikan harga bahan api, inflasi harga alat gantian dan sebagainya dimasukkan,” katanya kepada BH.
Mohd Harridon berkata, analisis unjuran kewangan disarankan perlu dibuat untuk tempoh enam tahun ke atas bagi memastikan kewangan syarikat penerbangan cukup dan memadai bagi menghadapi perkara luar jangka.
Beliau berkata, ia seperti pembayaran gaji, membeli alat ganti kapal terbang dan bahan api, mengatasi penurunan nilai mata wang ringgit, mengatasi masalah logistik, pembayaran sewa hangar kapal terbang, mengatasi inflasi pembayaran imbuhan pekerja serta penarikan diri pelabur.