comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Pakar China berharap Malaysia dapat siapkan projek ECRL lebih cepat

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Pakar dari China berharap Malaysia dapat menyiapkan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) lebih cepat sekali gus menjadi negara kedua di Asia Tenggara memiliki kereta api laju selepas Indonesia.

Naib Presiden Pusat China dan Globalisasi berpangkalan di China Victor Gao berkata projek ECRL perlu bagi meningkatkan kelajuan tren ECRL daripada 160 kilometer (km) sejam kepada kemungkinan 351km sejam.

“Diharapkan ia (projek ECRL) akan lebih cepat. Ia mungkin 351km sejam berbanding Tren Berkelajuan Tinggi (HSR) Indonesia iaitu 350km sejam. Malaysia boleh mendapat kelebihan satu jam tambahan,” katanya pada sidang media selepas forum perbincangan Concorde Club mengenai Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) di ASEAN di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai.

Pada 17 Okt lalu, HSR yang menghubungkan Jakarta dan Bandung, ibu kota wilayah Jawa Barat, beroperasi secara rasmi dengan kelajuan reka bentuk maksimum 350km sejam.

Operasi HSR bukan sahaja menandakan negara jiran itu kini memasuki sistem pengangkutan moden, malah juga menunjukkan China dan Indonesia telah melakar pencapaian penting di bawah BRI.

Sementara itu, Pengarah Penyelidikan Jabatan Kerjasama Penyelidikan Renmin University of China Liu Ying percaya bahawa projek ECRL adalah satu lagi BRI yang membolehkan Malaysia meraih pertumbuhan ekonomi lebih besar iaitu kira-kira tiga hingga lima peratus.

“Saya rasa ia boleh menjadikan ekonomi ASEAN lebih berkembang…mungkin ia jalan baharu untuk Asia ke China selain koridor ekonomi China-Indonesia,” katanya.

Menurut laman web Malaysia Rail Link, jajaran ECRL sejauh 648 kilometer akan merentasi Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang sebelum bersambung dengan Lembah Klang dan Pantai Barat Semenanjung Malaysia.

Ia menyatakan pada kelajuan 160km sejam, penumpang tren ECRL dapat menjimatkan masa perjalanan dari Kota Bharu, Kelantan ke Terminal Pengangkutan Bersepadu-Gombak (ITT-Gombak) kepada kira-kira empat jam.

Pada 19 Sep lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke di Dewan Rakyat dilaporkan sebagai berkata pembinaan projek ECRL telah mencapai kemajuan 53.9 peratus dan berada pada landasan untuk disiapkan menjelang 2027.

Loke berkata projek ECRL dari Kota Bharu ke Gombak akan siap pada 31 Dis 2026, manakala jajaran Gombak ke Pelabuhan Klang dijangka siap 31 Dis 2027.

— BERNAMA

Loading...
Terkini