comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Pakar cadang wujudkan institusi khas kendali subsidi pindahan tunai

ringgit generic
Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mewujudkan satu Institusi Pentadbiran Perpindahan Subsidi sekiranya mahu mengaplikasi kaedah pemberian subsidi kepada rakyat menerusi pindahan tunai, kata pakar ekonomi Prof Emeritus Dr. Barjoyai Bardai.

Institusi berkenaan boleh diletakkan di bawah seliaan Kementerian Kewangan (MoF) dan akan bertindak sebagai paymaster kepada pemberian subsidi.

Beliau berkata biarpun MoF sudah mempunyai bahagian pembayaran yang bertanggungjawab membuat pindahan kepada pelanggan atau pembekal kerajaan, namun bagi melicinkan pemberian subsidi pindahan tunai, wajar satu institusi dengan pengasingan tugas diwujudkan.

“Ini kerana ia melibatkan satu tugasan baharu dengan kerja yang banyak, malah penerima juga dijangka menjangkau lebih lapan juta orang, ia bukan jumlah kecil dari segi individu mahupun amaun bayarannya.

“Institusi ini nanti akan urus hal-hal terkait pentadbiran, pengurusan data termasuk verifikasi akaun, menentukan siapa golongan penerima dan memastikan pemindahan tunai dilakukan mengikut jadual,” katanya kepada Bernama.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa persidangan Dewan Rakyat berkata kerajaan sedang mempertimbangkan pemberian subsidi kepada rakyat menerusi pindahan tunai bagi mengelak berlakunya ketirisan serta memberi manfaat kepada warga asing.

Sementara itu, Pensyarah Kanan di Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) Asisten Prof Dr Abu Sofian Yaacob berkata sekiranya dilaksanakan, kelayakan penerima subsidi melalui pemindahan tunai itu tidak seharusnya bersandar kepada pengkelasan kategori B40, M40 mahupun T20.

Beliau berkata terdapat kelompongan dalam kaedah pengeklasan itu, jadi kerajaan perlu lebih memberi tumpuan kepada kelayakan penerima dengan meneliti satu demi satu permohonan yang diterima.

Dalam pada itu, Pakar Kewangan Keluarga Prof Dr. Mohamad Fazli Sabri berkata cadangan pemberian subsidi menerusi pemindahan tunai itu amat baik dalam mengatasi soal ketirisan kepada kira-kira 3.5 juta warga asing di negara ini.

Cadangan subsidi melalui pemindahan tunai itu juga selari ke arah era digitalisasi ketika ini, selain mencadangkan pemberian subsidi itu ditetapkan mengikut kemampuan kewangan kerajaan sama ada dikreditkan setiap tiga bulan, enam bulan atau setahun sekali. — BERNAMA

Loading...
Terkini