comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Pakar antarabangsa barisi lembaga penjaga Dana Kekayaan Berdaulat Sarawak 

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg

Oleh:Amanda Lopez

KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri Sarawak kini dalam proses pemilihan dan lantikan lapan Lembaga Penjaga bagi dana kekayaan berdaulat Sarawak yang menerima Dana awal bernilai RM8bilion.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia mengambil masa kerana lembaga itu akan dianggotai pakar daripada pelbagai pengalaman bidang di seluruh dunia.

“Kita perlu meneliti aspek personaliti, integriti dan latar belakang profesional itu untuk menganggotai lembaga penjaga. Mereka bukan hanya rakyat Sarawak dan bukan sahaja rakyat Malaysia. Lembaga ini adalah multinasional dan merangkumi mereka yang berpengalaman dalam pelaburan pasaran modal serta gandakan dana permulaan awal.” kata beliau apabila ditemui pemberita selepas memberi ucap tama pada Sidang Kemuncak Perbankan dan Kewangan Malaysia Kelima 2023 di sini, hari ini.

Dalam ucap tamanya, Abang Johari menjelaskan bahawa dana itu akan menggunapakai model pemaksimum modal dan berdasarkan dana kekayaan Norway — Dana Pencen Global Kerajaan Norway yang mempunyai saiz dana US$1.25 trilion (US$1=RM4.56).

Malah, model sama turut digunapakai oleh Perbadanan Dana Kekal Alaska (dengan saiz dana US$70.6 bilion) di Amerika Syarikat (AS) dengan semua negara terbabit mempunyai hasil daripada sumber minyak dan gas seperti Sarawak.

Asas dana kekayaan ini juga bersandarkan prinsip Santiago dari segi pengurusan dana ini bagi mengekalkan sistem kewangan global yang stabil selain aliran modal dan pelaburan secara bebas.

Tambah beliau, Sarawak ingin memastikan pulangan diperoleh menerusi gabungan memaksimakan dana serta pasaran ekuiti.

Dewan Undangan Negeri Sarawak sebulat suara meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Dana Kekayaan Berdaulat Masa Depan Sarawak 2022 pada 22 November 2022.

Loading...
Terkini