Oleh: Juliana Pija Ismail
KUALA LUMPUR: Pangkalan Data Utama (PADU) akan menjadi sistem teras bagi mengurangkan risiko ketirisan dalam agihan subsidi bersasar atau bantuan kepada kumpulan sasar.
PADU dikatakan mampu mengenal pasti tahap pendapatan serta sosioekonomi kumpulan masyarakat dengan lebih sistematik.
Pelaksanaan pangkalan data utama PADU awal tahun depan membolehkan kerajaan membina program dan skim inisiatif subsidi yang lebih adil.
Penyelarasan data PADU merangkumi bilangan isi rumah, rekod pendapatan, tanggungan anak mengikut peringkat pendidikan, lokasi dan bilangan kenderaan.
Turut diselaraskan adalah rekod bantuan yang diterima dari jabatan kerajaan dan maklumat lain yang menentukan pendapatan boleh belanja setiap isi rumah.
Perkongsian data dengan semua agensi kerajaan akan diselaraskan menerusi Akta Omnibus yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat nanti.
Akta itu akan menjadikan PADU sebagai sistem yang selamat serta mudah diurus berbanding sistem sedia ada.
Setakat ini, terdapat lebih 200 sumber pangkalan data yang akan diselaras dan dikemas kini.
Masih dalam pembangunan, orang ramai menantikan formulasi yang akan digunapakai oleh sistem itu untuk proses agihannya nanti.
Pembangunan Mahasiswa Politik Dan Kepimpinan Pelajar Universiti Malaysia Kelantan
Menurut Pengarah Pusat Pembangunan Mahasiswa Politik Dan Kepimpinan Pelajar Universiti Malaysia Kelantan, Dr.Noormariana Mohd Din, kerajaan perlu mengambil langkah utama dengan memberi kefahaman yang jelas kepada rakyat mengenai pelaksanaan sistem tersebut agar rakyat faham formula yang diguna pakai dalam sistem PADU ini.
“Adakah ianya berpandukan kepada pendapatan isi rumah atau perbelanjaan isi rumah? Isu ketirisan dan integriti harus diambil berat kerana ia melibatkan dana kerajaan” katanya kepada Buletin TV3.
Bagi mengukuhkan sistem berkenaan, beberapa isu berbangkit perlu diberi titik noktah terlebih dahulu. Antaranya ketirisan subsidi seperti diesel, RON95 serta elektrik.
Sementara itu, bagi pekerja swasta Mohamad Azwan, usaha itu dilihat langkah yang baik tetapi apabila dilaksanakan nanti biar tepat dan tidak pukul sama rata.
“Sebagai contohnya hidup di Kuala Lumpur adalah lagi kos tinggi dari luar bandar, tapi jumlah bantuan yang diterima sama sahaja seperti di luar bandar. Ia tidak membantu sangat” katanya kepada Buletin TV3.
Manakala bagi pekerja swasta dan e-hailing Syaffiq Mesbah, kerajaan perlu mengkaji semula kumpulan pendapatan supaya subsidi atau bantuan yang diterima nanti lebih adil.
“Saya dari kumpulan M40 tapi terpaksa melakukan pelbagai kerja untuk mencari pendapatan tambahan kerana banyak bantuan dan subsidi yang saya tidak layak. Ia memberi tekanan kepada saya” katanya.
Bakal dilaksanakan pada Januari 2024, setiap data yang diperoleh menerusi PADU perlu diteliti bagi memastikan tiada kekangan yang merencatkan hasrat membantu rakyat.
PADU yang lebih telus dapat mengelakkan keciciran terutama kepada penerima isi rumah yang layak.