Tumpuan :
Detik Niaga

Orang ramai boleh suarakan pandangan kepada kerajaan berkenaan SSPN-LHDN

Foto hiasan

Oleh Afrina Romzi

PETALING JAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berkata orang ramai boleh menyuarakan maklum balas kepada kerajaan mengenai pelepasan cukai Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).

Ini susulan keputusan kerajaan untuk menghentikan insentif pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 melalui SSPN mulai Tahun Taksiran 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Mohd Nizom Sairi menjelaskan keputusan mengenai SSPN itu dibuat kerajaan berdasarkan keadaan yang bersesuaian.

“Dari pihak rakyat, jika hendak apa-apa daripada pihak kerajaan sama ada nak melihat semula dan sebagainya. Bagi pihak LHDN, apa yang diputuskan di peringkat polisi akan dilaksanakan. Tetapi kami akan menyampaikan sebenarnya (pandangan orang ramai), apa yang kami dengar daripada permohonan pihak rakyat kepada kerajaan. Peranan LHDN pun untuk menyampaikan kepada kerajaan bagi memastikan polisi selari dengan nadi rakyat,” beliau berkata demikian kepada pemberita semasa mengadakan kunjungan rasmi ke Media Prima Bhd (Media Prima) pagi tadi.

Katanya lagi, LHDN turut melihat peluang untuk bekerjasama dengan Media Prima dalam menyalurkan mesej agensi itu.

“Kalau lihat dari segi capaian (Media Prima), yang berbelas juta setiap hari, ini tentunya saluran yang amat berkesan dan efektif dalam menyampaikan apa pun mesej. Jadi InsyaAllah, LHDN akan meneliti ruang-ruang di mana kita boleh memanfaat dengan lebih baik, pelbagai pilihan, sama ada cetak, online ataupun televisyen,” tambah beliau.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Mohd Nizom Sairi bersama delegasi diiringi Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid (tiga dari kanan) dan Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Rafiq Razali bergambar di studio ketika lawatan ke Media Prima di Sri Pentas Bandar Utama, Kuala Lumpur. -FOTO: NSTP/Hairul Anuar Rahim

Hadir sama, Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid Dan Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Rafiq Razali dan Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

Dalam perkembangan lain, LHDN bakal memperkenalkan inisiatif e-invois awal tahun depan.

Dengan ini, pembayar cukai tidak perlu menyimpan rekod kewangan untuk tujuh tahun kerana maklumat tersebut akan disimpan pihak LHDN secara digital.

Loading...
Terkini