KUALA LUMPUR:Oppstar Bhd (Oppstar), penyedia perkhidmatan reka bentuk litar bersepadu (IC) yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 15 Mac, menyasar mengumpul hasil sebanyak RM104.25 juta daripada tawaran awam permulaannya (IPO).
Daripada jumlah hasil IPO itu, syarikat tersebut merancang memperuntukkan RM50 juta (47.96 peratus) bagi pengembangan tenaga kerjanya dan RM 25 juta (23.98 peratus) bagi pembukaan pejabat baharu.
Sebanyak RM12 juta (11.51 peratus) akan diperuntukkan bagi perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan dan RM12.65 juta (12.14 peratus) bagi modal kerja.
Baki hasil RM4.6 juta (4.41 peratus) adalah bagi perbelanjaan berkaitan penyenaraian.
Ketua pegawai eksekutifnya Ng Meng Thai berkata permintaan bagi perkhidmatan reka bentuk IC berkembang pesat susulan permintaan berterusan terhadap kemajuan teknologi serta pertambahan penggunaannya oleh banyak syarikat semikonduktor.
“Kami terus menerima banyak pertanyaan daripada pelanggan kami, justeru, kami juga merancang pelan pengembangan, terutamanya di India dan Taiwan tahun ini dan Singapura tahun depan bagi menyediakan sokongan kepada pelanggan kami di rantau ini,” katanya semasa sidang akhbar bersempena dengan pelancaran prospektus IPO hari ini.
Ketika ini, syarikat itu mempunyai pejabat di Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Shanghai, China.
Oppstar juga merancang menambah bilangan tenaga kerjanya seramai 500 orang menjelang 2026 daripada 220 orang tahun ini untuk bersaing mendapatkan lebih banyak pesanan dan kontrak.
Ng menjangkakan syarikat itu merekodkan pertumbuhan hasil dua angka selepas mencatatkan hasil kukuh dalam tahun kewangan 2022 berakhir 31 Mac, 2022 iaitu sebanyak RM50.56 juta daripada RM29.26 juta pada tahun kewangan 2021.
IPO Oppstar terdiri daripada terbitan awam 165.48 juta saham baharu. Pada harga terbitan 63 sen sesaham dan modal saham diperbesarkan sebanyak 636.20 juta saham, syarikat itu akan mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM400.81 juta selepas penyenaraian.
Permohonan bagi terbitan awam dibuka hari ini dan akan ditutup pada 3 Mac, 2022, pada 5 petang.
BERNAMA