Tumpuan :
Detik Niaga

OCBC Bank sepadukan LCOS MGTC kepada pelan pembiayaan peralihan 

OCBC Bank (Malaysia) Bhd menjadi institusi kewangan pertama membantu perniagaan menyahkarbon gas rumah hijau

KUALA LUMPUR: OCBC Bank (Malaysia) Bhd menjadi institusi kewangan pertama di negara ini merumuskan pelan khusus untuk membantu perniagaan menyahkarbon emisi gas rumah hijau (GHG) menggunakan platform pengurusan karbon dalam talian Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC).

Dalam kenyataan bersama hari ini, kedua-dua pihak berkata, mereka telah menandatangani perjanjian untuk menyepadukan Sistem Operasi Karbon Rendah (LCOS) agensi itu kepada pelan pembiayaan peralihan untuk pelanggan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta korporat.

“Platform ini akan membimbing mereka (pelanggan) meningkatkan kecekapan, mengurangkan pembaziran dalam aktiviti perniagaan dan akhirnya mencapai penjimatan kos jangka panjang,” menurut kenyataan itu.

LCOS membantu perniagaan mengukur jejak karbon masing-masing untuk memastikan emisi dapat diuruskan dengan baik, katanya.

Menurutnya dengan menggunakan laporan yang dihasilkan oleh LCOS, syarikat-syarikat boleh mengambil tindakan yang berkesan untuk mengurangkan jumlah karbon yang dihasilkan oleh operasi masing-masing.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) OCBC Bank Tan Chor Sen pada majlis pemeteraian perjanjian itu berkata OCBC Bank  berharap untuk bekerjasama dengan syarikat-syarikat korporat dan PKS dalam usaha bersama negara mencapai emisi GHG sifar seawal 2050.

“Kumpulan OCBC telah menetapkan sasaran mencapai pembiayaan lestari berjumlah S$50 bilion (S$1=RM3.31) menjelang 2025,” katanya.

Sementara itu, CEO MGTC Shamsul Bahar Mohd Nor berkata sebagai langkah pertama untuk merangka proses alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang bermakna, syarikat-syarikat ini boleh menggunakan LCOS untuk memahami dan mengukur jejak alam sekitar dan menetapkan sasaran kelestarian yang realistik.

“Sektor kewangan mempunyai kuasa besar dalam bentuk dana dan boleh mempercepatkan peralihan global kepada ekonomi rendah karbon. Mereka boleh menawarkan perkhidmatan atau aliran modal terus kepada projek-projek dengan kesan sosial dan alam sekitar bermakna, dengan menggalakkan pihak lain untuk meningkatkan prestasi kelestarian.

“Kami berharap kerjasama ini akan membantu pelanggan OCBC Bank mencapai matlamat dan aspirasi kewangan mereka untuk menyumbang ke arah dunia lebih lestari,” katanya.– BERNAMA

Loading...
Terkini