KUALA LUMPUR: Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) menyasarkan untuk membentuk sektor pembuatan yang kukuh dan berdaya tahan, menawarkan manfaat menyeluruh kepada pelbagai pihak berkepentingan, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Beliau berkata, tidak seperti sebelumnya, NIMP 2030 telah melaksanakan pendekatan yang berbeza untuk pembangunan perindustrian.
“Keadaan ini disumbangkan oleh beberapa faktor iaitu pertama, kita mesti mengakui pelbagai cabaran global dan domestik yang terus menghalang pertumbuhan, termasuk pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya ketika berucap pada pelancaran NIMP 2030 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini hari ini.
Beliau berkata, faktor kedua adalah pelbagai trend dunia yang berlaku dan ketegangan geopolitik yang telah mempengaruhi rantaian bekalan global dan persekitaran perdagangan.
“Tonggak usaha kami adalah PKS. Matlamat kami adalah meningkatkan daya saing mereka, membolehkan mereka bersepadu dengan lancar kepada rantaian bekalan global. Apa yang sama penting adalah rakyat, dengan kita menyasarkan penyediaan pekerjaan dengan gaji lebih tinggi dan berkualiti.
“Menerusi tranformasi industri, kami komited untuk membangunkan semula kumpulan pertengahan, memastikan pihak berkepentingan utama juga boleh berkembang maju demi masa depan yang makmur,” katanya.
BERNAMA