comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

NIMP 2030 sasar nilai tambah sektor pembuatan cecah RM587 bilion

(Tengah) Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan NIMP 2030. – Foto: NSTP

Oleh Afrina Romzi

KUALA LUMPUR: Malaysia melancarkan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030), dengan sasaran nilai tambah sektor pembuatan meningkat sebanyak 6.5 peratus kepada RM587.5 bilion menjelang 2030.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata gaji median bagi rakyat di sektor pembuatan juga dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 9.6 peratus, daripada RM1,976 kepada RM4,510.

“Peningkatan nilai 128 peratus daripada 2021 ini didorong oleh peralihan industri ke arah aktiviti nilai tambah yang lebih tinggi dan pewujudan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi,” katanya pada pelancaran NIMP 2030.

Dari segi pekerjaan, pertumbuhan diunjur pada CAGR sebanyak 2.3 peratus atau peningkatan nilai sebanyak 20 peratus kepada 3.3 juta pekerja, berbanding 2.7 juta pada 2022.

Tambah beliau, NIMP 2030 menggariskan empat misi merangkumi memajukan kompleksiti ekonomi, mempercepat pendigitalan, mendorong pelepasan karbon sifar bersih, dan menjamin sekuriti ekonomi dan keterangkuman.

Ia juga berfokuskan sektor berimpak tinggi termasuk elektrik dan elektronik, kimia, kenderaan elektrik, aeroangkasa, farmaseutikal  serta bahan termaju, seperti mineral dan logam.

NIMP 2030 memerlukan anggaran pelaburan RM95 bilion sepanjang tujuh tahun, daripada sektor swasta, disalurkan daripada ekuiti swasta, modal dan pasaran kewangan. Hampir 10 peratus akan diperuntukkan kerajaan melalui Dana Pembangunan Perindustrian NIMP dan Dana Pelaburan Bersama Strategik NIMP.

“NIMP akan dilaksanakan melalui pendekatan menyeluruh yang bukan sahaja melibatkan kerajaan tetapi juga sektor swasta dengan bekerja secara kolaboratif untuk mencapai visi dan matlamat. Kami akan membentuk Majlis NIMP 2030 Kebangsaan, dengan penyertaan kementerian dan wakil industri yang berkaitan,” katanya.

Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar turut menekankan kepentingan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam meningkatkan kapasiti sektor pembuatan.

“NIMP 2030 juga akan mewujudkan peluang untuk PKS Malaysia untuk berkembang dalam sektor pembuatan. PKS dalam sektor pembuatan pada masa ini hanya menyumbang 8 peratus kepada KDNK dan 9 peratus kepada eksport,” ulas beliau.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) juga akan melancarkan rangka kerja berkaitan pembangunan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) untuk PKS dalam beberapa minggu.

Loading...
Terkini