comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

NIMP 2030: Gaji sektor industri mampu lepasi RM4,000 dalam 7 tahun

 

Foto hiasan / NSTP

Oleh: Amanda Lopez & Afrina Romzi

KUALA LUMPUR:Pemain industri yakin Pelan Induk Perindustrian Baharu, (NIMP 2030) mampu melonjakkan gaji pekerja sektor pembuatan melepasi RM4,000 dalam tempoh tujuh tahun.

Apa yang diperlukan, kerjasama rapat sektor swasta dan kerajaan selain rombakan sistem pendidikan bagi melahirkan bakat teknologi tempatan.

“Sasaran gaji dari sekitar RM2,000 ke lebih RM4,000 memang satu sasaran yang tinggi namun kami ingin bekerjasama dengan kerajaan untuk menambah baik imbuhan kepada pekerja kerana tenaga kerja ketika ini berasaskan pengetahuan dan kami ingin semua tenaga kerja kami berasaskan kemahiran.

“Justeru, saya yakin meskipun tempoh mencapai sasaran ini pendek namun ia mampu dicapai menerusi kerjasama kerajaan dan sektor swasta.” kata Tan Sri Soh Thian Lai, Presiden, Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) apabila ditemui selepas majlis pelancaran NIMP 2030 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pagi semalam.

Tan Sri Soh Thian Lai. – Foto : NSTP

Menyentuh mengenai peruntukan RM9.5 bilion oleh kerajaan pula, pemain industri melihat ia tidak mencukupi, namun amat penting bagi menggerakkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan.

“Inisiatif ini perlu melibatkan rombakan sistem pendidikan Malaysia supaya menyediakan lebih ramai bakat teknologi tempatan dalam tempoh tujuh tahun yang akan datang.

“Ia bukan misi yang senang. Ini bukan suatu yang mudah juga dan ia memerlukan kepimpinan dari peringkat atasan sekali iaitu daripada Perdana Menteri.” kata Chin Chee Seong, Setiausaha Agung, Persatuan PKS Malaysia kepada Buletin Tv3.

Strategi khusus untuk PKS tempatan terus berkembang dibawah NIMP 2030 juga diterima baik.

Ini penting kerana PKS miliki peranan besar, namun hanya menyumbang lapan peratus kepada ekonomi serta sembilan peratus kepada sektor eksport.

Chin Chee Seong. – Foto : SME Malaysia

Dalam pada itu, kata Chin, satu perbezaan ketara dalam NIMP 2030 berbanding pelan induk sebelum ini ialah Malaysia telah mengiktiraf kepentingan pemeliharaan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam kemajuan perindustrian.

Kerajaan komited kepada perjanjian kemampanan antarabangsa dan sasar untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

Kesimpulannya, Chin berkata NIMP 2030 bertujuan untuk mencipta masa depan yang sejahtera dengan membangunkan tenaga kerja mahir, menggalakkan pertumbuhan serantau yang seimbang, memupuk kerjasama, dan memastikan bahawa faedah pembangunan ekonomi dikongsi dalam kalangan rakyat Malaysia.

NIMP ini turut dijangka membimbing pembangunan sektor pembuatan, menjadikannya pemacu utama pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran negara.

Loading...
Terkini