Tumpuan :
Detik Niaga

Nilai perdagangan lepasi paras RM2 trilion, pertumbuhan terpantas sejak 1994

FOTO: NSTP

Oleh Amanda Lopez

KUALA LUMPUR: Jumlah perdagangan negara telah melebihi paras RM2 trilion bagi dua tahun berturut-turut.

Malah, perdagangan tahun lalu pertumbuhan terpantas dicatat sejak 1994.

Eksport tahun lalu menokok pada RM1.5 trilion, manakala import mencatatkan satu lagi pencapaian baharu apabila buat julung kalinya melebihi aras RM1 trilion.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, berkata “Prestasi perdagangan dipacu permintaan luaran yang kukuh dan harga komoditi yang lebih baik di sebalik cabaran rantaian bekalan serta cabaran pasaran yang lain.”

Lebihan dagangan yang ke-25 tahun berturut-turut juga telah direkodkan sejak 1998.

Eksport ke rakan dagang utama khususnya Asean, China, Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan Jepun telah mencatatkan nilai tertinggi baharu.

Kenaikan eksport yang ketara turut dicatatkan ke pasaran baharu seperti Mesir, Sri Lanka, Mozambique, Papua New Guinea dan Afghanistan.

Eksport ke rakan dagang Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) juga mencatatkan nilai tertinggi setakat ini.

 

Sementara itu, eksport ke pasaran di bawah perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang berkuat kuasa tahun lalu telah merekod pertumbuhan dua digit.

Foto Hiasan

Eksport sektor barangan perkilangan, keluaran pertanian dan hasil galian merekodkan nilai tertinggi setakat ini dengan pertumbuhan dua digit.

Pertumbuhan eksport yang mampan ini disokong oleh eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E), keluaran petroleum, gas asli cecair (LNG), minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, petroleum mentah serta jentera, kelengkapan dan peralatan, di mana setiap barangan ini telah merekodkan kenaikan melebihi RM10 bilion dengan pertumbuhan dua digit.

Kesemua barangan ini juga merekodkan nilai eksport tertinggi kecuali petroleum mentah.

Prestasi perdagangan Malaysia yang kukuh adalah seiring dengan pasaran-pasaran di rantau ini terutamanya Taiwan dan Republik Korea (ROK) berikutan permintaan global yang mantap.

Loading...
Terkini