comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Nilai jualan sektor pembuatan Mac 2023 naik 8%

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Nilai jualan sektor pembuatan berkembang sebanyak 8.0 peratus kepada RM156.2 bilion pada Mac 2023, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pertumbuhan itu didorong terutamanya oleh peningkatan dua digit dalam subsektor kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain (14.6 peratus) dan peralatan elektrik dan elektronik (12.7 peratus).

“Berbanding dengan bulan sebelumnya, nilai jualan telah kembali mencatat pertumbuhan positif sebanyak 7.6 peratus selepas mencatat penurunan berterusan sejak Disember 2022,” katanya dalam kenyataan laporan Perangkaan Pembuatan Bulanan Malaysia bagi Mac 2023 hari ini.

Mohd Uzir berkata nilai jualan industri berorientasikan eksport yang menyumbang lebih daripada dua pertiga atau 71.7 peratus daripada jumlah jualan, meningkat 7.3 peratus pada Mac 2023 selepas mencatat pertumbuhan 9.9 peratus pada Februari 2023.

Kenaikan tersebut disumbangkan terutamanya oleh pertumbuhan kukuh pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal (14.1 peratus) dan pembuatan kok serta produk petroleum bertapis (12.7 peratus).

Sejajar itu juga, industri berorientasikan domestik mencatat pertumbuhan stabil sebanyak 9.9 peratus (Februari 2023: 11.3 peratus) disokong oleh pembuatan kenderaan bermotor, treler dan semi treler (18.6 peratus) dan pembuatan produk prosesan makanan (9.9 peratus).

Malah, beliau berkata berbanding Februari 2023, kedua-dua industri berorientasikan eksport dan domestik meningkat masing-masing kepada 8.6 peratus dan 5.1 peratus.

Menyentuh bilangan pekerja, Mohd Uzir berkata sektor pembuatan mencatat seramai 2.35 juta pekerja pada Mac 2023 — peningkatan sebanyak 2.8 peratus berbanding 2.29 juta pada tahun lepas.

“Ini didorong terutamanya oleh subsektor produk makanan, minuman dan tembakau (5.3 peratus); peralatan elektrik dan elektronik (4.2 peratus) dan produk kayu, perabot, keluaran kertas serta percetakan (2.3 peratus).

“Bilangan pekerja dalam ketiga-tiga subsektor ini merangkumi lebih separuh daripada jumlah keseluruhan dalam sektor pembuatan.

Loading...
Terkini