comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Nilai hartanah laluan RTS di Johor setanding kawasan KLCC

KUALA LUMPUR: Nilai hartanah di sepanjang laluan Sistem Transit Laju (RTS) Johor Bahru-Singapura meningkat setara dengan harta purata hartanah di kawasan perdana di ibu negara, KLCC.

Penganalisis RHB Investment Bank Bhd, Loong Kok Wen, berkata terdapat kira-kira 11 projek berlangsung di kawasan sekitar stesen RTS di Bukit Chagar dan harga jualan purata (ASP) hartanah terbabit berada dalam lingkungan RM1,000 hingga RM1,300 bagi setiap kaki persegi, iaitu setara dengan harga purata kondominium dikawasan KLCC.

“Selain itu, kunjungan kami pada waktu malam menunjukkan kebanyakan unit-unit perumahan yang terletak berhampiran dengan stesen terbabit berada dalam suasana yang cerah.

“Pada tahun-tahun seterusnya apabila aspek ketersambungan dipertingkat dan lebih banyak bangunandiduduki penyewa, pusat bandar Johor Bahru dijangka akan semakin berkembang,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Beliau berkata, RHB Investment Bank berasa optimis terhadap pasaran hartanah di Iskandar Malaysia selepas pasukan penyelidikan bank pelaburan itu mengadakan lawatan ke Johor, baru-baru ini.

“Kami percaya lalu lintas merentas sempadan akan menjadi semakin rancak apabila siapnya RTS Johor Bahru-Singapura pada akhir 2026 dan landasan kereta api berkelajuan tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura dalam tempoh mungkin sedekad lagi.

“Selain aliran masuk pelaburan yang baik menggalakkan pertumbuhan ekonomi negeri ini, pasaran hartanah Johor berkemungkinan akan kembali pesat pada tahun-tahun seterusnya,” katanya.

Kok Wen berkata, permintaan hartanah di Johor Bahru juga akan melonjak didorong oleh harga sewaan dan rumah yang mahal di Singapura.

Loading...
Terkini