Tumpuan :
Detik Niaga

Nilai dagangan naik 1.9 peratus kepada RM207.51 bilion

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Prestasi dagangan Malaysia mengekalkan momentum peningkatan pada Januari 2023 dengan nilai perdagangan meningkat 1.9 peratus tahun ke tahun kepada RM207.51 bilion.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan, berkata eksport Malaysia pada bulan pertama 2023 mencatatkan peningkatan 1.6 peratus kepada RM112.84 bilion disokong nilai eksport yang kukuh bagi keluaran petroleum, gas asli cecair (LNG) serta barangan elektrik dan elektronik (E&E).

“Nilai import negara juga meningkat 2.3 peratus kepada RM94.67 bilion pada bulan dikaji. Lebihan dagangan bagaimanapun berkurang 2.1 peratus kepada RM18.16 bilion.”Ini adalah lebihan dagangan yang ke-33 bulan berturut-turut dicatatkan sejak Mei 2020,” katanya.

Menurut MITI, nilai dagangan Malaysia bagaimanapun merosot berbanding Disember 2022 dengan perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan susut masing-masing 11.8 peratus, 14.4 peratus, 8.6 peratus dan 35.5 peratus, disebabkan bilangan hari berkerja yang singkat dan cuti perayaan yang panjang.

Pada Januari 2023, eksport barangan perkilangan yang merangkumi 84.2 peratus daripada jumlah eksport menyusut secara marginal sebanyak 0.1 peratus tahun ke tahun kepada RM94.97 bilion.

Ia berikutan eksport yang lebih rendah bagi barangan perkilangan logam, keluaran getah serta barangan besi dan keluli, namun kenaikan eksport dicatatkan bagi keluaran petroleum, barangan E&E, barangan optik dan saintifik serta barangan minuman dan tembakau.

Secara kolektif, eksport keluaran petroleum dan barangan E&E menyumbang 52.2 peratus kepada jumlah eksport Malaysia dan meningkat sebanyak RM7.66 bilion.

MITI berkata, barangan eksport utama pada Januari 2023 membabitkan E&E berjumlah RM46.96 bilion, merangkumi 41.6 peratus daripada jumlah eksport, meningkat 4.7 peratus berbanding Januari 2022.

“Keluaran petroleum pula berjumlah RM11.92 bilion, merangkumi 10.6 peratus daripada jumlah eksport, melonjak 87.5 peratus, manakala LNG berjumlah RM6.68 bilion iaitu 5.9 peratus daripada jumlah eksport, meningkat 62.3 peratus,” kata MITI.

Bagi bulan dikaji, perdagangan dengan ASEAN menyumbang 26.6 peratus kepada jumlah perdagangan Malaysia, meningkat 5.6 peratus tahun ke tahun kepada RM55.26 bilion.

Eksport berkembang sebanyak 10.7 peratus kepada RM34.1 bilion, pertumbuhan dua angkat yang ke-18 bulan berturut-turut, disumbangkan oleh peningkatan eksport keluaran petroleum dan barangan E&E.

Import dari ASEAN bagaimanapun, menurun 1.8 peratus kepada RM21.16 bilion.

Eksport ke pasaran utama ASEAN yang merekodkan pertumbuhan adalah Singapura yang berkembang sebanyak RM2.86 bilion, disumbangkan oleh eksport yang kukuh bagi barangan E&E dan Thailand.

Perdagangan dengan China yang merangkumi 17.8 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia menguncup 7.9 peratus tahun ke tahun kepada RM37.01 bilion.

Eksport ke China bernilai RM14.98 bilion, menurun 11.9 peratus berikutan penyusutan eksport barangan besi dan keluli serta keluaran petroleum, namun kenaikan eksport telah direkodkan bagi kimia dan bahan kimia serta barangan E&E. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini