Tumpuan :
Detik Niaga

Nilai bitcoin dijangka cecah AS$100,000 pada akhir 2024

LONDON: Mata wang kripto utama, bitcoin boleh mencecah AS$100,000 menjelang akhir 2024, demikian menurut Standard Chartered.

Bitcoin boleh mendapat manfaat daripada beberapa faktor termasuk ketidaktentuan dalam sektor perbankan sejak kebelakangan ini, penstabilan aset risiko pada ketika Rizab Persekutuan (Fed) mengakhiri kitaran kenaikan kadar faedah dan keuntungan lebih baik daripada perlombongan kripto, kata Ketua Penyelidik Aset Digital Standard Chartered, Geoff Kendrick dalam satu nota.

“Walaupun sumber ketidaktentuan masih kekal, kami merasakan laluan ke paras AS$100,000 menjadi semakin jelas,” tulis Kendrick.

Bitcoin mencatatkan rali setakat tahun ini, melonjak di atas AS$30,000 pada April buat kali pertama dalam 10 bulan.

Kenaikannya mewakili sebahagian pemulihan selepas bertrilion dolar hilang daripada sektor kripto pada 2022, apabila bank-bank pusat menaikkan kadar sehingga menyebabkan beberapa firma kripto mengalami kegagalan.Ramalan penilaian tinggi adalah satu kebiasaan dalam rali bitcoin sebelum ini.

Seorang penganalisis Citi pada November 2020 berkata bahawa bitcoin boleh melonjak setinggi AS$318,000 menjelang akhir 2022.

Ia berakhir tahun lalu susut kira-kira 65 peratus pada AS$16,500.

Dalam notanya itu, Standard Chartered berkata bahawa bitcoin mendapat manfaat daripada statusnya sebagai ‘aset selamat’, dianggap sebagai penyimpan nilai dan kaedah kiriman wang.Kendrick berkata, sokongan Parlimen Eropah ke atas peraturan pertama Kesatuan Eropah (EU) untuk mengawal selia pasaran aset kripto akan memberikan ‘dorongan pertumbuhan’ terhadap bitcoin.

JPMorgan dalam satu nota pada 5 April lalu berkata, satu perubahan teknikal kepada blockchain bitcoin pada April 2024, dipanggil sebagai ‘halving’, akan memberikan rangsangan kepada harganya dengan menjadikan mata wang kripto itu lebih mahal untuk dihasilkan, menyebabkan ‘kesan psikologi yang positif’.

Reuters

Loading...
Terkini