
NEW YORK: News Corp mengumumkan akan memberhentikan kira-kira lima peratus daripada tenaga kerja, atau 1,250 pekerja, selepas konglomerat media itu gagal mencapai anggaran suku tahunan Wall Street, terjejas oleh penurunan di seluruh perniagaannya termasuk berita.
Syarikat itu juga berkata ia menanggung kos sekali saja AS$6 juta yang dikaitkan dengan penggabungannya bersama Fox Corp, pelan yang kemudiannya dibatalkan oleh Pengerusi Eksekutif News Corp dan Pengerusi Bersama Fox, Rupert Murdoch pada Januari.
Kenaikan inflasi dan kadar faedah lebih tinggi memaksa syarikat-syarikat mengehadkan perbelanjaan ke atas pemasaran dan pengiklanan, sekali gus menjejaskan salah satu sumber utama pendapatan bagi syarikat seperti News Corp, yang mempunyai platform penerbitan seperti Wall Street Journal.
“Kenaikan kadar faedah dan inflasi yang meruncing memberikan impak nyata kepada semua perniagaan kami,” kata Ketua Pegawai Eksekutif News Corp, Robert Thomson, dalam satu kenyataan.
Bagi menangani kelembapan itu, Thomson berkata terdapat beberapa inisiatif sedang dilaksanakan, termasuk pengurangan pekerja.
Pemberhentian itu akan dibuat merentasi semua perniagaan dan menghasilkan penjimatan sekurang-kurangnya AS$130 juta setiap tahun.
Syarikat itu berkata, pada suku ketiga ia menjangka untuk melihat kos sekali saja berkaitan dengan pembatalan cadangan penggabungan Fox-News Corp dan ia rancangan untuk meneroka penjualan Move Inc, yang mengendalikan laman web Realtor.com kepada CoStar Group.
Pendapatan pengiklanan pada suku kedua jatuh 10.6 peratus kepada AS$464 juta.Pendapatan pada suku kedua berakhir 31 Disember berjumlah AS$2.52 bilion, ketika penganalisis secara purata menjangkakan ia akan mencecah AS$2.55 bilion, menurut data oleh Refinitiv.
Perolehan sesaham yang diselaraskan adalah 14 cents, sambil penganalisis menjangkakan 19 cents.—REUTERS