Oleh:Amanda Lopez
KUALA LUMPUR: Negara ASEAN perlu sepakat dalam melaksana Cukai Minimum Global (GMT).
Menurut Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong, pelaksanaan juga memerlukan sokongan dan persefahaman dalam kalangan syarikat multinasional setiap negara yang dilihat masih meminta geran tunai untuk memintas GMT.
“Kita perlu berdiri bersama dan memberitahu syarikat multinasional bahawa kita perlu mengutip cukai ini untuk kebaikan rakyat kita yang lebih besar” katanya pada majlis ASEAN Malaysia 2025 pagi tadi.
Dalam tempoh dua dekad akan datang, jelasnya, ASEAN harus muncul sebagai masyarakat kelas pertengahan dan seterusnya menjadi pasaran pengguna yang besar untuk semua, termasuk syarikat multinasional.
“Untuk berbuat demikian, kita mesti memastikan bahawa negara anggota ASEAN tidak memasuki perlumbaan ke bawah dari segi gaji, pemotongan cukai atau cuti cukai. Sebaliknya, ASEAN mesti menegakkan piawaian alam sekitar.” tegasnya.
Katanya, dengan model perindustrian lama yang diterajui eksport, negara ASEAN membantu syarikat multinasional untuk menekan gaji untuk jadi destinasi murah bagi pengeluaran dalam usaha menarik pelaburan.
Malah, potongan cukai atau cuti cukai juga diberikan kepada syarikat multinasional.
Selain itu, negara ASEAN juga perlu memastikan bahawa apabila membangunkan ekonomi rantau, iklim dan alam sekitar turut dilindungi bersama-sama.
Dalam pada itu, Liew juga berkata ini masanya negara anggota ASEAN melihat satu sama lain bukan sebagai pesaing tetapi saling melengkapi untuk membentuk rantaian bekalan serantau yang berdaya tahan.
“Dalam konteks ini, Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura berpotensi mencipta masa depan yang cerah dan sebagai langkah yang boleh diteladani. Lebih banyak projek pelaburan bersama seluruh ASEAN atau kerjasama sub-serantau akan membantu menjadikan rantaian bekalan ASEAN lebih kukuh.”katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.