Oleh Suzila Idayu Yaacob
KUALA LUMPUR: Cadangan supaya kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bahagian majikan dinaikkan kepada 20 peratus berbanding 13 peratus ketika ini mendapat reaksi berbeza pelbagai pihak.
Ada yang menyatakan ini masa terbaik untuk menangani risiko kemiskinan hari tua. Ada pula berpandangan, cadangan itu tidak mengurangkan beban pekerja ketika ini sebaliknya memberi tekanan kepada majikan.
Bercakap kepada Buletin TV3, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Effendy Abdul Ghani berkata meskipun kenaikan caruman memberi kesan positif kepada pencarum kelak, pihaknya berharap kerajaan memberi tumpuan kepada menstruktur semula gaji minima.
“Kenaikan caruman ini dapat kita tangani dengan kita menaikkan atau kita buat satu perubahan kepada gaji atau upah pekerja itu sendiri. Kerana apabila ada peningkatan gaji atau upah pekerja maka kadar caruman kepada KWSP itu akan meningkat. Ini MTUC lihat perkara pokok yang kita perlu selesaikan,”katanya.
Sementara itu, pakar ekonomi pula berpandangan adalah penting untuk segera memulihkan kembali simpanan hari tua rakyat yang semakin berkurangan.
“Selepas daripada cabaran pandemik, kita lihat sudah ada pelbagai strategi pengeluaran khas KWSP dilaksanakan. Ini penting untuk kerajaan pada ketika ini untuk pulihkan kembali simpanan hari tua kepada pekerja Malaysia yang ramai,” jelas Pensyarah Ekonomi Univerisiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin.
Bagaimanapun, menurut Ketua Percukaian KPMG, Soh Lian Seng, timbul juga persoalan sama ada majikan kini bersedia atau mampu untuk menambah caruman pekerja mereka.
“Pada masa ini potongan cukai untuk syarikat tidak boleh melebihi 19 peratus. Sekiranya kerajaan digesa untuk menaikkan KWSP bahagian majikan kepada 20 peratus maka besar kemungkinan usaha ini tidak dapat sambutan daripada majikan kerana majikan perlu bayar cukai ke atas caruman tambahan berlebihan satu peratus iaitu 20 peratus tolak 19 peratus,” katanya.
Perdana Menteri sebelum ini memaklumkan syor kenaikan caruman sudah dikemukakan, tetapi belum dibawa ke mesyuarat jemaah menteri.