KUALA LUMPUR: Pelancaran projek mega seperti Transit Aliran Massa 3 (MRT3), penyiapan Fasa 2 projek MRT2, Tun Razak Exchange (TRX) dan Menara Merdeka 118 dijangka memberi manfaat kepada aktiviti komersial di bandar, sekali gus bakal menarik minat global terhadap sektor hartanah di Malaysia.
Pengarah CBRE WTW Valuation & Advisory Sdn Bhd (CBRE|WTW), Ungku Mohd Iskandar Ungku Ismail, berkata pasaran hartanah di Lembah Klang bagaimanapun berdepan cabaran sepanjang tahun ini dengan komponen kediaman berada dalam sentimen pasaran yang berhati-hati.
“Ia susulan wujud kemungkinan aktiviti pelancaran baharu yang tertangguh, selain jangkaan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR),” katanya pada sidang media pelancaran laporan CBRE|WTW di sini, hari ini.
CBRE|WTW, penyedia perkhidmatan hartanah menjangkakan pasaran hartanah tempatan berada dalam proses pemulihan dan terus melonjak semula sepanjang tahun ini.
Berdasarkan laporan Unjuran Pasaran Hartanah Malaysia 2023 yang diterbitkannya semalam, CBRE|WTW mendedahkan bahawa bagi Lembah Klang, aktiviti jualan kediaman sekunder dijangka kembali rancak, manakala pemulihan bakal dilihat bagi unit kediaman mewah.
Untuk komponen pejabat pula, wujud pertumbuhan permintaan bagi ruang kerja fleksibel, unit tetap dan unit pajakan jangka pendek, dengan bangunan menggunakan elemen infrastruktur terkini serta mesra alam dijangka menjadi popular.
Dari aspek komponen runcit, ia bakal menarik minat jenama antrabangsa untuk mengembangkan operasi ke Lembah Klang, sementara kadar penggunaan ruang bersama dijangka kembali meningkat.
Bagi hartanah di Pulau Pinang pula, CBRE|WTW mendedahkan berlaku lonjakan semula sejak tahun lalu tetapi kekal dalam mod berhati-hati.
Pasaran hartanah di negeri itu masih berdepan cabaran merangkumi kenaikan kadar faedah dan isu rantaian bekalan.Ia ditambah dengan isu kekurangan tanah pembangunan yang besar untuk mengembangkan sektor pembinaan di negeri berkenaan.
Di Iskandar Malaysia pula, secara keseluruhan pasaran mula menunjukkan tanda pemulihan positif terutama selepas pembukaan semula pintu sempadan antarabangsa.
Bagaimanapun, Iskandar Malaysia masih berdepan dengan kenaikan harga hartanah dan OPR, selain peningkatan harga asas komoditi yang menjejaskan kuasa beli domestik.
Sementara itu, perunding hartanah global, Knight Frank Malaysia turut menjangkakan pasaran hartanah di negara ini akan terus pulih, namun pada kadar lebih perlahan dengan Asia Pasifik berdepan ketidaktentuan selain tinjauan ekonomi global suram pada tahun ini.
Pengarah Urusannya, Keith Ooi, berkata pengenalan insentif mesra alam akan menjadi inisiatif penting untuk memacu sektor hartanah menuju ke hadapan.
“Kami berharap kerajaan akan memperkenalkan ‘insentif hijau’ kepada pembeli hartanah, pemilik rumah, penyewa dan pemaju untuk disejajarkan dengan sasaran menjadi negara sifar bersih menjelang 2050,” katanya dalam kenyataan laporan Sorotan Hartanah Separuh Kedua 2022 Knight Frank Malaysia. –BERITA HARIAN