comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

MPOB perkenal 6 teknologi termasuk siri klon sawit baharu

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani bersama Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir melawat reruai selepas Majlis Pelancaran Program Pemindahan Teknologi Sawit (TOT MPOB) kali ke-30 2024. – FOTO: NSTP

Oleh Afrina Romzi

BANGI: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah memperkenalkan enam teknologi dan satu perkhidmatan baharu dalam Program Pemindahan Teknologi Sawit (TOT) bagi pengkomersialan yang merangkumi kluster bioteknologi, mekanisasi dan automasi dan oleokimia.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, program berkenaan dianjurkan setiap tahun bertujuan memperkenalkan teknologi dan inovasi dalam sektor sawit yang dibangunkan oleh penyelidik MPOB.

Enam teknologi itu ialah Siri Klon Sawit 4 (CPS 4) yang merupakan bahan tanaman terkini kepada Siri Klon Sawit MPOB yang dihasilkan melalui teknik bioteknologi dan Mesin Pemotong Rumput dengan Transmisi Hidrostatik dan Kawalan Radio yang merupakan mesin pemotong mekanikal secara kawalan radio untuk kawalan rumpai di ladang sawit.

Ini selain Gris Gred Makanan Terbiodegradasi Berasaskan Sawit yang diformulasi untuk kegunaan industri makanan bagi mengelak risiko kontaminasi gris berasaskan petroleum dan Gam Berasaskan Sawit untuk Kawalan Serangga Perosak bagi Kegunaan di Rumah dan Ladang yang merupakan pelekat untuk mengawal serangan serangga perosak.

Terdapat juga Minyak Transformer Berasaskan Sawit yang merupakan minyak penebat mesra alam berasaskan sawit untuk transformer di rantaian pencawang elektrik dan Cecair Pencuci Industri Berasaskan Sawit yang berfungsi sebagai produk pembasmi kuman dan pencuci yang juga boleh digunakan bagi tujuan sertu.

Manakala perkhidmatan baharu yang ditawarkan untuk pengkomersialan ialah Khidmat Kawalan Perosak Sawit dan Tikus Secara Biologi. MPOB menyedia khidmat perundingan bagi kawalan tikus secara biologi dengan menyediakan pembinaan tiang berburu di kawasan sawit.

MPOB telah mengenal pasti 355 teknologi dalam semua aspek sawit yang berpotensi untuk tujuan pengkomersialan mengikut keperluan industri sawit dan potensi pengkomersialan oleh syarikat tempatan.

Sehingga kini, 241 teknologi yang ditawarkan untuk pengkomersialan telah berjaya dikomersialkan oleh penggiat industri dan syarikat termasuk penggiat Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini