Tumpuan :
Detik Niaga

MPOB nafi wujud birokrasi pembaharuan lesen peniaga sawit

Semua permohonan lesen MPOB dikehendaki melalui SOP serta tertakluk kepada kriteria lesen dan polisi permohonan lesen yang telah ditetapkan oleh lembaga bagi tujuan mengawal selia industri sawit secara sihat, sempurna dan teratur.

KUALA LUMPUR: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berkata dakwaan wujudnya birokrasi dalam pembaharuan lesen peniaga buah kelapa sawit (DF) adalah tidak tepat kerana kelewatan itu adalah disebabkan kegagalan pemohon untuk memenuhi keperluan yang ditetapkan.

Dalam kenyataan hari ini, MPOB menegaskan proses itu akan dibuat segera sekiranya tiada sebarang perubahan pada entiti perniagaan dan pemilikan premis yang dilesenkan.

Menurutnya semua permohonan lesen MPOB dikehendaki melalui prosedur operasi standard (SOP) serta tertakluk kepada kriteria lesen dan polisi permohonan lesen yang telah ditetapkan oleh lembaga bagi tujuan mengawal selia industri sawit secara sihat, sempurna dan teratur.

“Sekiranya terdapat pindaan, pemohon akan dimaklumkan dan diberi tempoh selama 14 hari bekerja untuk mengemukakan dokumen daripada tarikh permohonan diterima oleh MPOB.

“Kegagalan pemohon mengemukakan dokumen yang diperlukan menyebabkan pembaharuan lesen lewat diproses atau ditutup,” menurut kenyataan itu bagi mengulas laporan sebuah akhbar tempatan pada 11 Januari lepas ke atas dakwaan mengenai syarat pengeluaran lesen peniaga sawit oleh MPOB.

Menurut MPOB, pemegang lesen DF disyaratkan untuk menyediakan jambatan timbang atau pusat pengumpulan.

Syarat ini ditetapkan sejak 2005 dan telah ditambah baik melalui Pekeliling Penguatkuasaan (Pelesenan) MPOB Pk(EL)MPOB1/2017 pada 1 Jun 2017 iaitu dengan memberi kelonggaran kepada pemegang lesen DF untuk menyiapkan pembinaan pusat timbang sehingga enam bulan daripada tarikh kelulusan diberikan.

“Merujuk kepada dakwaan pengadu berkaitan sesi pendengaran pada 7 Dis 2022, beberapa DF (termasuk dua syarikat milik pengadu) telah dipanggil bagi memberi penjelasan akan kegagalan syarikat mematuhi mana-mana peruntukan akta atau mana-mana pekeliling penguatkuasaan MPOB.

“Kedua-dua syarikat diberi kelulusan lesen pada 2006 dan telah menjalankan urus niaga sawit di tempat selain daripada premis yang dilesenkan dan ini adalah satu kesalahan di bawah Peraturan 22(1), Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (Pelesenan) 2005,” katanya.

Menurutnya pengadu sedia maklum bahawa premis rumah kediaman yang digunakan untuk urus niaga adalah tidak sesuai dan tidak mempunyai pusat timbang atau pusat pengumpulan.

Memetik aduan berkaitan kelewatan pembaharuan lesen pula, MPOB berkata ia adalah berkaitan dengan keperluan syarikat untuk mengemukakan maklumat dan dokumen terkini bagi proses permohonan pembaharuan lesen.

Jelasnya keperluan dokumen tersebut penting bagi memastikan kesahihan permohonan yang dikemukakan.

Sementara itu, sejajar dengan era pendigitalan industri sawit, MPOB berkata pihaknya sedang membangunkan sistem SIMS (Sawit Intelligence Management System) untuk kebolehkesanan keluaran sawit yang diurusniagakan di sepanjang rantaian bekalan selain dapat menyokong kebolehkesanan minyak sawit yang memiliki Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

Antara elemen penting dalam pembangunan SIMS adalah perisian timbang yang digunakan sebagai langkah untuk menentukan sumber bekalan secara fizikal selain membanteras isu tipu timbang.

Keperluan ini adalah penting kerana ia dapat melindungi kepentingan pengeluar sawit terutamanya pekebun kecil, katanya.-BERNAMA

Loading...
Terkini