Tumpuan :
Detik Niaga

MPC komited percepatkan proses permohonan pas ekspatriat 

KUALA LUMPUR: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) akan menjalankan ujikaji mengenai pembaharuan prosedur kelulusan permohonan permit untuk ekspatriat yang bekerja di Malaysia mulai Mei 2023.

Ini berikutan pengumuman oleh Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dalam mesyuarat Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) yang diadakan semalam.

Ketua Pengarah MPC Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata ujikaji pembaharuan itu akan dilaksanakan selama dua minggu bermula 15 Mei 2023 dengan menyasarkan kepada industri yang terpilih.

“Inisiatif ini turut memperkenalkan dua kategori permohonan iaitu kumpulan Fast Track bagi syarikat mempunyai rekod baik yang membolehkan proses dipendekkan kepada lima hari manakala kategori Normal Track bagi permohonan syarikat baharu yang memerlukan proses 15 hari berbanding tempoh semasa iaitu 87 hari.

“Pihak berkuasa tempatan turut dicadangkan untuk menyediakan satu Panduan Berpusat yang komprehensif dengan garis panduan dan senarai semak yang jelas sebagai rujukan melalui prosedur baharu itu.

“Mesyuarat juga menetapkan setiap agensi pelulus yang terlibat untuk mengguna pakai kaedah Risk-Based dan Industri Akauntabiliti. Syarikat akan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas setiap permohonan. Penalti berat dan disenarai hitam akan dikenakan sekiranya didapati tidak telus semasa penguatkuasaan dibuat,” katanya.

Menurut Abdul Latif, ujikaji perlu dijalankan sebelum pelaksanaan prosedur baharu sepenuhnya yang disasarkan bermula pada Jun 2023 melalui sistem One Single Window Bahagian Khidmat Ekspatriat (ESD) yang dikelolakan oleh Jabatan Imigresen Malaysia.

ESD akan dinaik taraf kepada One Single Window ESD dengan menghimpunkan agensi pelulus dan kawal selia dalam satu platform bagi memendekkan dan menyeragamkan tempoh permohonan kebenaran merancang.

Beliau berkata Pemudah dan MPC bertindak sebagai penggerak dan memberikan khidmat nasihat dalam memastikan keberkesanan pelaksanaan inisiatif ini.

“MPC akan terus komited untuk memodenkan peraturan perniagaan dalam memastikan urusan para pemain industri dipermudahkan.

“Penambahbaikan prosedur permohonan pas ekspatriat ini juga sekali gus memudahkan agenda kerajaan dalam membawa masuk lebih banyak pelabur berimpak tinggi seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Katanya peraturan perniagaan yang berkualiti dan tangkas merupakan antara faktor penyumbang kepada peningkatan daya saing serta menyokong sasaran pertumbuhan produktiviti negara pada kadar 3.6 peratus setahun sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12). — BERNAMA

Loading...
Terkini