PETALING JAYA: Program bual bicara berbentuk perniagaan dan kewangan yang disiarkan di stesen televisyen sering kali dikaitkan dengan usahawan dan tokoh terkemuka perniagaan, begitu juga dengan ‘Money Matters, salah satu jenama program terbitan TV3.
Bagaimanapun, program yang membicarakan mengenai ‘ringgit dan sen’ ini mula meraih perhatian penonton muda, yang kebanyakannya lebih menjurus kepada program berbentuk hiburan.
DUA DEKAD ‘BEREHAT’
Lima orang pelajar dalam usia lingkungan usia 20-an dari Komunikasi dan Media dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi adalah peminat setia Money Matters.
Ahmad Idham Ahmad Hamzah, 20, Intan Sabrina Hanapi, 20, Preti Gill, 21, Fazrinah Sadiq, 23, dan Kuroshini Saravanan, 21, merupakan pelajar tahun dua Komunikasi dan Media UKM yang akan menamatkan pengajian dalam tempoh dua tahun lagi.
Mereka hanya mula mengikuti Money Matters pada tahun lalu apabila program bual bicara itu kembali bersiaran di TV3 selepas ‘berehat’ selama dua dekad, tetapi terus menjadi peminat.
Baru-baru ini pelajar berkenaan menghubungi seorang daripada pengacara Money Matters, Zahir Kelvin Ong Abdullah dan mereka telah dijemput untuk melawat Seri Pentas di Bandar Utama, Petaling Jaya, studio utama Money Matters.
MESRA ORANG BIASA
Fazrinah, dari George Town, Pulau Pinang berkata: “Saya mengetahui program Money Matters pada tahun lepas, dan bapa saya yang merupakan seorang ahli perniagaan memberi galakan kepada saya untuk menontonnya kerana ia mendidik, bermaklumat dan mesra orang biasa.”
Tambahnya, sejak menonton program bual bicara berdurasi setengah jam itu, dia memperoleh banyak ilmu berguna mengenai ekonomi, perniagaan dan kewangan.
“Pengacara kegemaran saya ialah Kelvin, yang mempamerkan karisma dan keterampilan, serta Azaria Tagaya Norio Tagaya yang banyak pengetahuan.
“Setiap kali saya menonton rancangan itu, saya tidak sabar untuk mendengar dan belajar daripada mereka!”
Fazrinah, yang pernah menjalani latihan industri di Bernama TV dari 2019 hingga 2020, bercita-cita menjadi pengacara televisyen dan berhasrat melakukan ‘voice over’ untuk program pendidikan.
MENARIK DAN JELAS
Kuroshini, dari Johor Bahru, berkata: “Pada mulanya saya bukan peminat program yang berunsur perniagaan. Tetapi satu hari, saya menonton Money Matters yang menggunakan gaya bahasa jelas dan menarik dipamerkan oleh pengacara-pengara yang hebat, berketerampilan dan merendah diri.”
Dia menyifatkan Money Matters sebagai sebuah program yang menitikberatkan bukan sahaja komunikasi dua hala antara pengacara bersama tetamu undangan, bahkan penglibatan dengan para penonton.
“Program ini amat bernilai kepada semua penonton yang tidak biasa dengan perniagaan dan kewangan. Ia memainkan peranan penting dalam menarik minat orang biasa dalam hal perniagaan, dan saya merupakan seorang daripada mereka!”
PENDEKATAN DI MEDIA SOSIAL
Preti, dari Kuala Terengganu berkata: “Kami, anak muda tidak banyak membaca dan kami sering melayari media sosial dan televisyen untuk mendapatkan maklumat dan hiburan atau kedua-duanya sekali.
“Saya suka menonton program berita dan dokumentari mengenai pelbagai topik, tetapi perniagaan bukanlah salah satu daripadanya sehingga saya menonton program Money Matters.”
Tambahnya, beliau boleh mendengar dengan mudah apabila Kelvin atau pengacara lain menyampaikan maklumat penting, menerusi telefon pintar ketika melakukan kerja rumah seperti memasak, membersih dan mengemas.
“Money Matters menjadi peneman saya apabila saya sibuk di rumah. Pengacara terutamanya Kelvin, bercakap secara lebih dekat dengan penonton dan pendengar, sekaligus memberi inspirasi kepada saya untuk menjadi seperti mereka sebaik sahaja saya menamatkan pengajian.”
KERAGUAN UNTUK MENONTON
Intan, dari Johor Bahru berkata: “Fazrinah memperkenalkan saya kepada Money Matters dan saya akan sentiasa berterima kasih kepadanya untuk itu. Sebelum ini saya pernah mendengar tentang program itu tetapi saya teragak-agak untuk menontonnya kerana perniagaan dan kewangan bukan minat saya.
“Selepas dipujuk daripada Fazrinah, Preti dan Kuroshini, saya memutuskan untuk mengikut saranan mereka dan saya sangat gembira kerana saya melakukannya.
“Bukan sahaja Money Matters membicarakan mengenai perniagaan dan kewangan, yang mengaitkan topik ini dengan gaya hidup individu dan hal keluarga. Ia sememangnya sebuah program yang mesra rakyat.”
CEPAT TERDORONG
Ahmad Idham, yang berasal dari Taiping berkata: “Saya akui saya bukan peminat perniagaan dan kewangan, dan kebanyakan yang saya tonton di televisyen adalah program yang berkaitan ‘showbiz’ serta pelancongan dan makanan.
“Namun, apabila Intan mencadangkan saya menonton Money Matters, saya cepat terdorong. Saya tidak sabar untuk menonton episod setiap minggu, dan saya mesti katakan, saya rasa dekat dengan Kelvin dan Azaria.”
Episod kegemaran Ahmad Idham dalam Money Matters adalah episod yang membicarakan tentang pandemik COVID-19 dan impaknya terhadap kehidupan rakyat Malaysia, terutamanya golongan profesional muda.
“Walaupun saya tidak fikir saya mahu menjadi pengacara kepada program berkaitan perniagaan pada masa depan, Money Matters sememangnya satu program yang saya dapat banyak belajar daripada pengacaranya.
‘YA’ UNTUK PERMINTAAN
Kelvin berkata lima pelajar itu tidak pernah menonton program Money Matters yang pernah disiarkan bermula pada awal tahun 1990-an.
“Saya terkejut apabila Fazrinah menghubungi saya baru-baru ini, menyatakan minatnya kepada program Money Matters dan betapa ia telah menyedarkan mereka tentang asas perniagaan, kewangan dan keusahawanan,” katanya.
PELATIH INDUSTRI
Penerbit Eksekutif Money Matters, Josephine Dass berkata, dia dan Kelvin berpendapat adalah bagus untuk mempunyai pelatih industri yang terdiri daripada pelajar media untuk program itu pada masa akan datang.
“Saya amat gembira kerana Money Matters mendapat maklum balas yang hebat daripada penonton muda. Kelvin dan saya percaya bahawa untuk rancangan ini terus berkembang, kami perlu menjalin rangkaian dengan pelajar muda media dengan minat untuk menjadi pengacara serta mempunyai pengetahuan yang mendalam dan kukuh mengenai Money Matters,” katanya.
“Ahmad Idham, Intan, Preti, Fazrinah dan Kuroshini sendiri sangat berpengetahuan dan bersemangat, dan jika ada diantara mereka atau rakan pelajar media yang ingin menjalankan latihan industri di Money Matters pada masa akan datang, kami memberikan sokongan penuh.”
BERSAMA PAKAR INDUSTRI
Disifatkan sebagai program berbentuk perniagaan yang utama di TV3, Money Matters dihoskan bersama oleh Anita Woo, Azaria, Kelvin dan Muhammed Ahmad Hamdan.
Bagi musim baharu 2023, ia akan akan mula ditayangkan pada 21 Januari ini, setiap Sabtu jam 5 petang dan akan terus meneroka ‘trend’ ekonomi dan perniagaan bersama tetamu jemputan istimewa yang terdiri daripada pakar-pakar industri.
Azaria baru-baru ini dicalonkan untuk Penyampai TV Terbaik di Anugerah Seri Angkasa 2022.
====================
Dipetik daripada artikel asal