KUALA LUMPUR: Kerajaan menjangkakan momentum transformasi ekonomi terus melonjak tahun ini yang diterjemahkan menerusi asas kukuh dan tahap keyakinan pelabur terhadap ekonomi, disokong oleh dasar kerajaan yang kukuh.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata kerangka Ekonomi MADANI yang menggariskan strategi baharu untuk pertumbuhan ekonomi Malaysia dan mengenal pasti industri pertumbuhan pesat membangun telah membuahkan hasil yang positif, seperti yang ditunjukkan oleh pengembangan ekonomi yang berterusan.
“Pertumbuhan 4.2 peratus yang memberangsangkan pada suku pertama 2024 menunjukkan dasar dan pengurusan ekonomi kerajaan adalah berkesan.
“Kami optimis Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk berkembang dalam julat ramalan rasmi antara empat peratus dan lima peratus pada 2024,” katanya berucap merasmikan Persidangan Akauntan Antarabangsa anjuran Institut Akauntan Malaysia (MIA) 2024 di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Akauntan Negara, Nor Yati Ahmad; dan Presiden MIA, Datuk Seri Mohamad Zabidi Ahmad.
Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, pelabur global menunjukkan minat baharu dalam naratif pembaharuan, seperti yang dicerminkan dalam keyakinan pasaran modal domestik termasuk perkembangan positif dalam pergerakan Bursa Malaysia yang mencatat paras tertinggi baharu.
“Malaysia juga menerima pelaburan langsung asing (FDI) baharu daripada syarikat global seperti Microsoft, Google, Byte Dance, Infineon Technologies dan Tesla pada tahun ini,” katanya.
Berhubung pelaksanaan rasionalisasi subsidi, Amir Hamzah menjelaskan bahawa penyasaran subsidi diesel menjadi antara satu pembaharuan dasar yang merangkumi tiga asas iaitu memerangi ketirisan, mencipta ekonomi lestari dan menambah baik penyampaian awam.
“Ketika kerajaan meneruskan reformasi sistemik untuk membendung rasuah, pembaziran dan ketirisan, akauntan memainkan peranan penting sebagai penyokong tadbir urus yang baik dan amalan perniagaan beretika,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa