comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

MOF lanjut tempoh cadangan Belanjawan 2024 sehingga 22 September

Oleh:Amanda Lopez

KUCHING: Susulan sambutan yang menggalakkan, Kementerian Kewangan (MOF) memanjangkan tempoh mengumpul maklumbalas Belanjawan 2024 melalui portal Cadangan Belanjawan 2024 selama seminggu sehingga 22 September 2023.

Setakat 13 September, Jelajah Belanjawan 2024 telah melangkaui seluruh pelosok negara melalui 9 Jelajah Negeri yang diterajui  Timbalan Menteri I dan II, serta 24 sesi libat urus yang dikendalikan kementerian-kementerian di bawah Kerajaan.

Selepas Kuching, Program Jelajah Belanjawan 2024 akan bersambung di Perak, Selangor dan Labuan.

Program ini dijangka berakhir pada 22 September 2023.

Sesi tersebut melibatkan penyertaan daripada lebih 7,000 peserta dari pelbagai latar belakang seperti dewan perniagaan, pakar ekonomi, teknokrat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan juga orang awam.

Pada masa yang sama, MOF telah menerima lebih 9,500 maklumbalas daripada orang ramai melalui portal Cadangan Belanjawan 2024.

Maklum balas yang diterima melalui semua platform tersebut meliputi bidang-bidang kelestarian ekonomi seperti pemeliharaan persekitaran, ekonomi hijau, tata kelola baik, dan pendigitalan; penambah baikan tadbir urus fiskal; dan langkah-langkah untuk memajukan industri sedia ada seperti industri kreatif dan pelancongan.

Kesiapsiagaan Belanjawan 2024 bermula dengan pembentangan Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat pada 27 Julai 2023, yang turut memainkan peranan sebagai kenyataan pra-Belanjawan.

Kerangka tersebut telah menjadi panduan kepada kertas-kertas dasar Kerajaan Perpaduan untuk menstruktur semula ekonomi Malaysia agar ia berlandas pada trajektori pertumbuhan baru yang rancak dan saksama.

Kerangka dasar yang telah diluncurkan untuk melengkapi Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat merangkumi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Pelan Induk Industri Baharu 2023 (NIMP), dan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK 12).

Ini akan disusul dengan Belanjawan 2024 yang akan dibentang Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 13 Oktober 2023, yang akan menggariskan usaha dan inisiatif untuk dilaksanakan pada tahun 2024 bagi mencapai sasaran dalam kerangka Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat.

Orang ramai masih dijemput untuk memberikan pendapat dan cadangan di portal Cadangan Belanjawan 2024 melalui pautan https://budget.mof.gov.my/ms/.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini