Tumpuan :
Detik Niaga

Model bahasa kecil, AI Agen dijangka pacu inovasi AI

Pengurus Besar Negara dan Ketua Teknologi IBM Malaysia, Dickson Woo

Oleh: Afrina Romzi

KUALA LUMPUR: Inovasi dalam teknologi kecerdasan buatan (AI) dijangka berkembang pesat dengan penerapan model bahasa kecil (SLM) dan AI Agen (Agentic AI).

Pengurus Besar Negara dan Ketua Teknologi IBM Malaysia, Dickson Woo berkata, SLM membolehkan AI beroperasi dengan lebih cekap dan kos efektif bagi perusahaan, manakala AI Agen meningkatkan keupayaan sistem untuk berfungsi secara autonomi.

“AI Agen juga membantu membuat keputusan kompleks dan melaksanakan tugas dengan sedikit atau tanpa campur tangan manusia.

“Organisasi tidak memerlukan satu model AI yang besar dan serba tahu, tetapi AI yang terbuka, bersasar dan cekap,” katanya semasa pembentangan ‘AI ROI: Membuka Nilai Dan Menskalakan Impak’, semalam.

Tambah beliau, syarikat di peringkat global kini semakin beralih kepada alat AI sumber terbuka bagi memaksimumkan pulangan pelaburan (ROI) serta memacu inovasi.

“Kajian yang dijalankan oleh IBM bersama Morning Consult dan Lopez Research mendapati 89 peratus organisasi merancang untuk meningkatkan atau mengekalkan pelaburan AI mereka pada 2025.

“Daripada jumlah itu, 62 peratus akan meningkatkan peruntukan, dengan 39 peratus merancang kenaikan antara 25 peratus hingga 50 peratus,” katanya.

Kajian juga menunjukkan peningkatan ketara dalam penggunaan AI sumber terbuka, dengan 51 peratus syarikat yang menggunakannya mencapai ROI positif berbanding hanya 41 peratus dalam kalangan organisasi yang tidak menggunakan pendekatan tersebut.

“AI juga semakin digunakan dalam pelbagai sektor utama termasuk perkhidmatan kewangan bagi penilaian risiko, pengesanan penipuan dan perdagangan,” katanya.

Dalam sektor penjagaan kesihatan, AI membantu dalam penyelarasan penjagaan pesakit serta pengurusan sumber.

Manakala AI dimanfaatkan untuk pengoptimuman rantaian bekalan dan penyelenggaraan ramalan dalam bidang pembuatan.

Dalam perkhidmatan pelanggan pula, ia digunakan untuk sokongan automatik dan interaksi yang lebih diperibadikan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini