Tumpuan :
Detik Niaga

[VIDEO] MITI mahu lebih banyak insentif untuk kenderaan elektrik

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berharap supaya insentif untuk kenderaan elektrik (EV) akan diberi tumpuan dalam Bajet 2023 yang akan dibentangkan semula pada 24 Februari ini.

Menterinya, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, berkata selain mengharapkan insentif berkaitan EV yang disentuh ketika pengumuman Bajet 2023 pada Oktober lalu diteruskan,

MITI juga mengemukakan cadangan baharu kepada Kementerian Kewangan (MOF).

“Bagi pihak MITI sendiri, kami memang mengharapkan insentif untuk EV yang dicadangkan sebelum ini dapat diteruskan dan kami juga ada mengemukan beberapa cadangan baru mengenai EV kepada MOF.

“Saya berharap MOF akan memberi pertimbangan terhadap permintaan atau cadangan daripada MITI serta pemain industri yang bakal memberi manfaat kepada keseluruhan rantaian bekalan EV baik untuk industri mahupun pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media di majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara Computer Forms Malaysia Bhd (CFM) dengan Energy Absolute Thailand PCL (EA) di sini, hari ini.Bajet 2023 dijangka dibentangkan semula oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada Oktober lalu, Datuk Seri Tengku Zafrul yang juga Menteri Kewangan ketika itu membentangkan Bajet 2023 dengan memberi tumpuan kepada EV.

Dalam pembentangan belajawan tahunan itu, kerajaan bercadang melanjutkan pengecualian duti import dan eksais EV sehingga 31 Disember 2024 bagi kenderaan EV import sepenuhnya.Lanjutan pengecualian itu sebagai langkah berterusan menyokong penggunaan EV di Malaysia.

Bagi menyokong industri EV negara, kerajaan juga akan mengecualikan fi Permit Import (AP) bagi mengimport kenderaan EV sehingga 31 Disember 2023.

Selain itu, pengilang peralatan pengecasan EV juga bakal mendapat manfaat menerusi pengecualian cukai pendapatan 100 peratus ke atas pendapatan berkanun mulai tahun taksiran 2023 hingga tahun taksiran 2032 dan Elaun Cukai Pelaburan sebanyak 100 peratus.

Dalam Bajet 2022, kerajaan menawarkan pengecualian duti import dan eksais sebanyak 100 peratus serta cukai jalan sifar bagi EV CBU sehingga 31 Disember 2023 dan pengecualian duti 100 peratus untuk EV pemasangan tempatan (CKD) sehingga akhir tahun 2025. –BERITA HARIAN

Loading...
Terkini