comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Misi SME Bank di AS raih potensi jualan lebih RM70 juta

KUALA LUMPUR: SME Bank Malaysia meraih potensi jualan berjumlah AS$15 juta (RM70.8 juta) pada Misi Pecutan Eksport (EAM) keempatnya untuk 2024 di Amerika Syarikat (AS).

SME Bank berkata, acara itu, yang berlangsung serentak dengan Summer Fancy Food Show 2024 di Javits Centre di New York, melebihi sasaran awal untuk EAM 2024 sebanyak AS$10 juta (RM47.2 juta), serta menerima pertanyaan daripada pengedar dan kedai rangkaian di seluruh AS.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SME Bank, Datuk Aria Putera Ismail, berkata sejak penubuhannya pada 2020, EAM menyaksikan penyertaan 80 syarikat, mencapai hasil eksport yang luar biasa sebanyak RM187.68 juta setakat Disember 2023.

“Luar biasanya, terdapat peningkatan hasil eksport sebanyak RM74.56 juta dalam tempoh yang sama. Kejayaan program ini dapat dilihat dengan jelas, melalui 35 syarikat berjaya menembusi pasaran eksport baharu termasuk Maldives, Australia, United Kingdom (UK), Qatar, dan AS.

“Selain itu, 13 syarikat telah memperoleh pembiayaan baharu atau tambahan sebanyak RM143.95 juta, menyumbang kepada pembentukan 10 pengeksport baharu,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut bank itu, pada acara berkenaan kira-kira 3,000 pembeli dan pelawat dari Amerika Utara, Amerika Selatan, dan Eropah melawat reruai terbabit.

Hampir 200 pembeli yang berminat telah direkodkan, dengan 55 peratus daripada mereka adalah pembeli sah.

Antara pembeli ini, 52 peratus adalah pengedar, pemborong dan peruncit.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini