BEIJING : Lawatan rasmi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof selama seminggu ke China membuahkan hasil apabila negara itu komited untuk menjalin kerjasama lebih erat, terutama dalam bidang pertanian dan komoditi minyak sawit.
Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, negara yang mempunyai 1.4 bilion penduduk itu komited untuk meningkatkan jumlah import sawit kepada 3.4 juta tan pada tahun depan berbanding kira-kira 3.14 juta tan pada masa ini.
China adalah rakan dagang terbesar Malaysia sejak 14 tahun lalu.
Pada 2022, nilai eksport produk agrikomoditi Malaysia ke China menyumbang sebanyak 12.8 peratus daripada jumlah eksport komoditi pertanian Malaysia di pasaran antarabangsa yang bernilai RM26.46 bilion – peningkatan sebanyak 11 peratus berbanding 2021.
Nilai eksport produk berasaskan sawit ke China pada 2022 adalah RM16.41 bilion manakala nilai eksport minyak sawit Malaysia ke China pada tahun sama adalah RM8.44 bilion.
“Saya kira ini satu misi yang amat berjaya. Walaupun kita mempunyai jadual yang padat tetapi ia amat bermakna dengan perbincangan produktif selain respons mereka yang sebegitu positif.
“Apa sahaja yang kita bincang dan kita kemukakan, mereka menyambutnya dengan baik dan komited untuk meningkatkan perdagangan dengan Malaysia,” katanya kepada media Malaysia pada akhir lawatan berkenaan.
Beliau memulakan lawatannya ke negara Tembok Besar berkenaan pada 12 November, bermula dengan lawatan tiga hari ke Shanghai diikuti empat hari di Beijing.
Lawatan sulung itu juga sempena ulang tahun ke-10 Perkongsian Strategik Komprehensif di antara Malaysia dan China manakala tahun depan menyaksikan kedua-dua negara ini menyambut ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik.
Semasa di Shanghai, beliau melancarkan plak Institut Penyelidikan dan Perkhidmatan Teknikal Kelapa Sawit MPOB (PORTSIM) yang menerima pengiktirafan akreditasi makmal daripada China iaitu China National Accreditation Services (CNAS) dan China Inspection Body and Laboratory Mandatory Approval (CMA).
Ini disusuli pertemuan bersama 62 pemegang taruh China pada sesi Mesyuarat Meja Bulat Peringkat Tertinggi dengan topik perbincangan termasuk strategi meningkatkan kerjasama dengan China, khususnya aplikasi minyak sawit dalam rantaian nilai.
Timbalan Perdana Menteri turut menyaksikan penganugerahan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) kepada Grand Oils and Fats (Dongguan) Co Ltd, kilang penapisan pertama di luar Malaysia yang diperakui dengan MSPO.
Beliau juga menghadiri mesyuarat dua hala bersama Naib Premier Ding Xuexiang dan Liu Guozhong selain Menteri Jabatan Pentadbiran Am Kastam China (GACC) Yu Jianhua serta menghadiri masjlis makan malam dihoskan Menteri Pertanian dan Hal Ehwal Luar Bandar Tang Renjian. – BERNAMA