comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Misi KKD ke UAE tarik potensi pelaburan bernilai RM600 juta 

Foto fail NSTP

DUBAI: Misi pelaburan dan eksport Kementerian Komunikasi dan Digital menerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah berjaya menarik komitmen pelaburan bernilai kira-kira RM600 juta dan peluang eksport bernilai lebih RM330 juta.

Menterinya Fahmi Fadzil yang mengetuai misi tersebut berkata potensi pelaburan itu dicapai menerusi lapan pertukaran memorandum persefahaman.

Ini membabitkan syarikat Malaysia dengan syarikat dari Dubai dan Timur Tengah serta perbincangan dengan pengerusi DAMAC Group Hussain Sajwani yang berlangsung serentak dengan pameran Gulf Information Technology Exhibition (GITEX) dan acara Expand North Star (ENS).

Fahmi berkata, semasa pertemuan beliau dengan Hussain, yang juga pengasas DAMAC Group, sebuah konglomerat terkemuka UAE, kedua-duanya membincangkan mengenai pelaburan dalam beberapa sektor strategik termasuk cadangan penubuhan pusat data di Malaysia.

“Saya harap cadangan pelaburan ini berpotensi menjadi lebih besar lagi dan kami memberi sedikit masa untuk menyelesaikan beberapa butiran terperinci, tetapi saya sangat gembira dan berpuas hati dengan hasil lawatan ini,” katanya sambil menambah kementeriannya perlu menunggu beberapa minggu lagi untuk mendapatkan butiran lanjut tentang pelaburan tersebut.

Sehingga Ogos 2023, Malaysia telah berjaya memperoleh komitmen pelaburan langsung asing (FDI) bernilai RM37.4 bilion.

Sementara itu, MDEC dalam satu kenyataan berasingan berkata pencapaian tersebut mencerminkan keyakinan pelabur asing terhadap keupayaan digital negara meliputi rangka kerja yang disediakan melalui Malaysia Digital (MD).

MD adalah inisiatif strategik nasional bertujuan untuk memacu pertumbuhan pesat ekonomi digital dan mewujudkan limpahan hasil kepada rakyat, sejajar dengan pelan pembangunan Ekonomi MADANI dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.

Sebanyak 12 syarikat berteknologi tinggi Malaysia menyertai GITEX Global 2023 dan ENS yang bertujuan untuk membina platform bagi menggalakkan kerjasama antara negara, selain memberikan pendedahan kepada peserta misi untuk berinteraksi, memperluas jangkauan dan mempamerkan penyelesaian digital, produk serta perkhidmatan terbaik. – BERNAMA

Loading...
Terkini