Tumpuan :
Detik Niaga

MIDA tarik RM264.6 bilion pelaburan diluluskan pada 2022

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Malaysia merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM264.6 bilion pada tahun 2022.

Dalam satu kenyataan, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkata, jumlah itu merangkumi 4,454 projek, dengan 140,370 peluang pekerjaan akan diwujudkan.

“Sektor perkhidmatan adalah penyumbang utama dengan RM154 bilion, diikuti oleh peningkatan RM84.3 bilion dalam sektor pembuatan dan RM26.3 bilion dalam sektor utama.

“Pelaburan langsung asing (FDI) kekal menjadi penyumbang utama dengan jumlah pelaburan yang diluluskan pada 61.7 peratus atau RM163.3 bilion, dengan China sebagai penyumbang terbesar hampir 34 peratus,” katanya.

Pelaburan langsung domestik (DDI) pula menyumbang 38.3 peratus atau RM101.3 bilion.

Mengikut pecahan, lima negeri yang mencatatkan nilai pelaburan yang ketara kepada jumlah pelaburan yang diluluskan termasuk, Johor (RM70.6 bilion), Selangor (RM60.1 bilion), Sarawak (RM28.2 bilion), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ( RM25 bilion) dan Pulau Pinang (RM16.3 bilion).

Melangkah ke hadapan, MIDA berkata ia mempunyai beberapa projek yang menjanjikan potensi pelaburan berjumlah RM14.6 bilion, sekali gus menunjukkan potensi yang besar untuk ekonomi Malaysia.

Sektor pembuatan mempunyai 31 projek dengan pelaburan berpotensi RM10.6 bilion manakala sektor perkhidmatan sebanyak 218 projek dengan potensi pelaburan RM4 bilion.

Selain itu, komitmen oleh Tesla dan Amazon Web Service (AWS) untuk melabur di Malaysia baru-baru ini adalah bukti kestabilan politik dan kekuatan institusi negara ini.

Loading...
Terkini