BANGKOK: Pemimpin ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) bertemu di sini pada Jumaat untuk membincangkan kaedah menggalakkan pembangunan mampan serta memudahkan perdagangan dan pelaburan.
Berucap pada Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC ke-29, Perdana Menteri Thailand Prayut Chan-o-cha berkata pemimpin akan saling bertukar pandangan mengenai usaha menyokong pertumbuhan ekonomi dan pembangunan mampan untuk membawa rantau ini ke arah masa depan lebih baik.
Menjadikan model ekonomi Bio-Circular-Green (BCG) sebagai antara agenda utama, Thailand berharap model ekonomi BCG berupaya memacu usaha menggalakkan pembangunan mampan dan matlamat perlindungan alam sekitar, lapor Xinhua.
Mesyuarat kali ini menjadi pertemuan pertama pemimpin ekonomi APEC secara bersemuka sejak 2018 yang bertemakan “Open, Connect, Balance” – membuka peluang kepada semua peluang, berhubung dalam semua dimensi dan mengimbangi semua aspek.
APEC yang ditubuhkan pada 1989 ialah forum ekonomi serantau terulung dengan matlamat untuk menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan dan kemakmuran di rantau Asia Pasifik.
Dengan hampir 40 peratus penduduk dunia, 21 negara anggota APEC menyumbang kira-kira separuh daripada perdagangan global dan lebih 60 peratus daripada jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia. – BERNAMA