comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Mesyuarat khas PRK DUN Jepak Isnin depan

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan Mesyuarat Khas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.67 Jepak, Sarawak pada Isnin ini.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak dalam satu kenyataan memaklumkan, mesyuarat khas itu akan dipengerusikan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh.

Mesyuarat khas berkenaan akan membincangkan tarikh penting PRK seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya terbabit.

“SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nasar berhubung kekosongan luar jangka kerusi DUN Jepak.

“Selaras dengan Artikel 21(5) Perlembagaan Negeri Sarawak yang memperuntukkan kekosongan luar jangka kerusi DUN Jepak perlu diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan kerusi tersebut dipastikan oleh SPR,” katanya.

Tambahnya, sidang media akan diadakan selepas mesyuarat khas berkenaan.

DUN Jepak kosong selepas penyandangnya Datuk Talip Zulpilip meninggal dunia pada 15 September lalu akibat komplikasi kesihatan di sebuah pusat perubatan swasta di Kuching.

Allahyarham menjadi penyandang DUN berkenaan di bawah Parlimen Bintulu selama enam penggal sejak 1996.

Allahyarham pernah dilantik sebagai Menteri Muda Pelancongan dan Warisan Sarawak dan menjadi menteri pertama yang mengetuai Kementerian di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Sarawak pada 2017.

Loading...
Terkini