KUALA LUMPUR: Mercury Securities Group Bhd memulakan penampilannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd (Bursa Securities) dibuka pada 27 sen sesaham yang mewakili premium sebanyak lapan peratus berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 25 sen sesaham.
Mercury Securities ialah syarikat pegangan pelaburan dan melalui anak syarikat milik penuhnya, Mercury Securities Sdn Bhd, ia menjadi organisasi penyertaan Bursa Securities dan penasihat utama yang diiktiraf oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
Ia terbabit dalam penyediaan pembrokeran saham, khidmat nasihat kewangan korporat dan perniagaan lain yang berkaitan seperti perkhidmatan kemudahan pembiayaan margin, perkhidmatan taja jamin dan penempatan, serta penyediaan penama dan perkhidmatan penjaga.
Kumpulan memperoleh sejumlah RM39.27 juta melalui IPO, dengan RM26.86 juta daripada hasil itu diperuntukkan untuk perkhidmatan kemudahan pembiayaan margin.
Sebanyak RM2.88 juta diperuntukkan untuk penambahbaikan program pendigitalan dan aktiviti pemasaran untuk perniagaan pembrokeran saham dan operasi kumpulan, manakala RM4.63 juta akan digunakan untuk tujuan modal kerja dan baki RM4.9 juta diperuntukkan untuk anggaran perbelanjaan penyenaraian.
Pengarah Urusan Mercury Securities, Chew Sing Guan, berkata beliau ingin mengucapkan terima kasih kepada SC dan Bursa Securities atas pengawasan berterusan mereka terhadap pasaran modal syarikat itu.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh pasukan Mercury Securities dan kumpulan kerja ketekunan wajar atas kerja keras mereka dalam menjayakan hari ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Selepas penyenaraiannya di Pasaran ACE, Mercury Securities akan mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM223.25 juta berdasarkan harga terbitan RM0.25 sesaham dan modal saham terbitannya yang diperbesarkan sebanyak 893 juta saham.
Sebagai penasihat utama yang diiktiraf oleh SC dan penasihat utama, penaja dan penasihat diluluskan yang diiktiraf oleh Bursa Securities, Mercury Securities menyediakan rangkaian penuh perkhidmatan nasihat kewangan korporat seperti IPO di Pasaran Utama, Pasaran ACE dan Pasaran LEAP.
Ia juga menyediakan latihan penjanaan dana sekunder seperti terbitan hak dan penempatan persendirian, pengambilalihan, penggabungan dan pengambilalihan, nasihat bebas, pengambilalihan terbalik dan penstrukturan semula korporat yang dilakukan oleh syarikat tersenarai serta tidak tersenarai.