KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengumumkan mekanisme dan kriteria membabitkan rasionalisasi subsidi dalam tempoh berapa minggu akan datang, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Justeru, katanya, kerajaan akan memberi penerangan khusus berhubung implikasi mengenai mekanisme dan kriteria yang akan diumumkan kepada setiap lapisan masyarakat.
“Jika kita dapat melaksanakan (rasionalisasi subsidi) anggaran Bank Dunia menunjukkan bahawa peralihan penjimatan subsidi ini kepada bantuan sosial boleh menggandakan pengurangan kadar kemiskinan dan dapat menjana sumbangan kepada penjimatan fiskal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Laporan Pemantauan Ekonomi Malaysia (MEM) 2024 Bank Dunia bertajuk ‘Bending Bamboo Shoots: Strengthening Foundational Skills’ di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pengurus Negara Bank Dunia bagi Malaysia, Dr Yasuhiko Matsuda.
Sebelum ini, firma penyelidikan mendedahkan bahawa impak positif program rasionalisasi subsidi dijangka dirasai tahun depan dengan kedudukan fiskal negara diunjurkan lebih kukuh, meskpun pelaksanaannya memberi kesan kepada penggunaan agregat.
Justeru, perkembangan berkenaan dijangka mengubah sentimen pelabur yang akan lebih berkeyakinan terhadap pasaran tempatan pada separuh kedua tahun ini.
BIMB Securities Research menjangkakan usaha pembaharuan yang dilaksanakan kerajaan pada 2024 akan membuahkan hasil tahun depan.
Ia berkata, dengan jangkaan prospek yang lebih cerah 2025 berikutan kejelasan yang lebih baik mengenai hala tuju dasar Amerika Syarikat (AS) dan kedudukan fiskal Malaysia yang jauh lebih mantap akan menjadi pemacu yang akan menggembirakan pelabur.
Katanya, defisit fiskal berkemungkinan berada dalam lingkungan kira-kira 3.0 peratus pada 2025 berikutan pelaksanaan inisiatif rasionalisasi subsidi.
Malah jelasnya, gabungan pelbagai faktor juga akan memacu ringgit lebih tinggi, yang dijangka merapatkan jurang mata wang tempatan itu terhadap nilai saksamanya.
Sementara itu, Rafizi berkata, pelaksanaan Pangkalan Data Utama (PADU) memberi ruang mencukupi kepada kerajaan untuk melaksanakan rasionalisasi subsidi dan peralihan daripada model regresif subsidi menyeluruh.
“Dengan tahap data yang diperlukan ini, kami boleh meminimumkan ralat dan memastikan pengagihan subsidi yang saksama kepada mereka yang paling memerlukannya,” katanya.
Beliau menjelaskan konsolidasi kedudukan fiskal akan membantu kerajaan meneroka pertumbuhan baharu.
“Itulah sebabnya kerajaan melancarkan Pelan Tindakan KL20, satu siri pembaharuan holistik, yang akan meletakkan Kuala Lumpur sebagai syurga seterusnya untuk modal teroka (VC) dan pengasas syarikat pemula niaga,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.