comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

MEF sokong sepenuhnya Dasar Gaji Progresif

KUALA LUMPUR: Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menyokong sepenuhnya pelaksanaan Dasar Gaji Progresif yang disifatkan inisiatif terbaik dan tidak pernah lagi dilakukan oleh mana-mana kerajaan sebelum ini bagi membantu menangani masalah gaji pekerja.

Presidennya, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman, berkata dalam libat urus bersama Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut dihadiri MEF, dasar itu dijangka akan dilaksanakan pada Mac atau April tahun depan.

Katanya, selepas mesyuarat MTEN, kertas putih akan dihantar ke Kabinet untuk mendapatkan kelulusan dan selepas itu mendapatkan kelulusan daripada bajet pula.

“Pelaksanaannya pula akan diperhalusi lagi dengan mengambilkira pandangan daripada semua pihak berkepentingan sebelum mereka melancarkannya nanti. Pelaksanaannya saya jangkakan pada Mac atau April tahun depan.

“Isu terbesar pelaksanaan dasar ini adalah kos yang tinggi kerana membabitkan subsidi daripada kerajaan. Perbelanjaan sebenar hanya akan diperolehi apabila kerajaan memutuskan pekerjaan dari sektor dan kategori mana yang mahu disubsidikan dan dijangkakan membabitkan berbilion ringgit untuk seluruh negara.

“Pemberian subsidi ini masih dalam peringkat kajian dan belum dimuktamadkan,” katanya kepada BH.

Anwar semalam mengumumkan bahawa Kabinet akan membincangkan Dasar Gaji Progresif bagi memperhalusi pelaksanaannya secara berperingkat.

Perdana Menteri berkata, ia juga bagi meneroka keperluan memperuntukkan dana sebagai insentif dasar yang akan ditentukan mengikut kedudukan kewangan kerajaan dan keperluan dasar.

Loading...
Terkini